Laporan Polis Oleh Perak Corp Usaha Menakut-nakutkan Saya – Chong Zhemin

Reading Time: < 1 minute

IPOH – Bekas Pengarah Perak Corp Berhad (PCB), Chong Zhemin hadir di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Balai Polis Sungai Senam hari ini bagi menggesa pihak polis menyiasat laporan polis yang beliau buat terhadap PCB di Balai Polis Dang Wangi pada Khamis lalu.

Beliau membuat dakwaan itu di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 421 iaitu ‘pembuangan atau penyembunyian harta secara tidak jujur atau curang untuk mengelakkan pengagihan di kalangan pemiutang.’

Chong menambah akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan akan menyerahkan semua maklumat yang beliau ada dan beliau percaya polis akan menyiasat kes ini secara professional dan adil.

Pada Jumaat lalu, Perak Corp Bhd telah menolak dakwaan bekas pengarahnya, Chong Zhemin bahawa berlaku jenayah komersial syarikat itu berhubung pengisytiharan aset antara skim susunan kumpulan dan laporan tahunan 2021.

Chong sebelum ini berkata Perak Corp mengisytiharkan 13 aset dalam laporan tahunan 2021 tetapi hanya satu daripadanya diisytiharkan dalam skim penyusunan kumpulan itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Perak Corp berkata Chong telah membuat kenyataan tidak benar dan berniat jahat terhadap kumpulan itu, yang juga telah membuat satu lagi laporan polis terhadap ADUN Keranji dari DAP itu.

Menurut Perak Corp, skim penyusunan digubal dengan tujuan untuk menstruktur semula hutang di peringkat syarikat dan bukan untuk kumpulan secara keseluruhan.

Namun, Chong melihat laporan polis yang dibuat oleh Perak Corp terhadap beliau merupakan tindakan untuk menakut-nakutkan beliau.

“PCB gagal mengemukakan sebarang dakwaan jenayah atau salah laku yang dilakukan oleh saya dalam laporan mereka.

“Saya melihat tindakan ini adalah satu usaha untuk menakut-nakutkan saya dari bertindak sebagai anggota dewan undangan negeri untuk bercakap demi kepentingan awam dan juga kepentingan negeri,” katanya.

Turut bersama adalah ADUN Jelapang, Cheah Pou Hian, ADUN Canning, Jenny Choy Tsi Jen dan Ketua Biro Guaman DAP, Jason Ng Thien Yeong.