IPOH: Atlet Selangor, Muhammad Aqil Yasmin dinobat sebagai Raja Pecut Sukan Malaysia (Sukma) yang baharu apabila memenangi perlumbaan akhir 100 meter lelaki di Stadium Perak, Ipoh hari ini.
Muhammad Aqil,21, menamatkan saingan dengan catatan masa 10.39 saat, mengetepikan dua pencabar utama Muhammad Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan (10.43s) dan Muhammad Zulfiqar Ismail dari Terengganu di tempat ketiga dengan masa 10.46s.
Catatan itu bagaimanapun jauh daripada rekod Sukma yang juga rekod kebangsaan milik juara Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan iaitu 10.18s yang dilakukan di Sarawak, dua tahun lalu.
Sementara itu atlet kebangsaan, Azreen Nabila Alias dari Terengganu muncul juara 100m wanita dengan catatan rekod baharu temasya, 11.81s.
Azreen Nabila mengenepikan cabaran pelari pilihan dari Sabah, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas yang mencatat masa 12.17s, manakala gangsa dimenangi Ikma Syaffiera Duris, juga dari Sabah dengan catatan 12.28s.
Bagi acara lompat jauh, seperti sudah dijangka, atlet lompat jauh negara kelahiran Perlis Abdul Latif Romly berjaya menghadiahkan emas buat negerinya pada acara lompat jauh lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dengan mengatasi atlet normal.
Abdul Latif berjaya melakukan lompatan sejauh 7.46 meter mendahului atlet Sabah Andre Anura@Anuar dengan catatan meter 7.39m di Stadium Perak.
Gangsa pula menjadi milik Muhamad Nazri Mustafa dari Kedah yang mencatatkan sejauh 7.28m. Biarpun turun selaku juara bertahan di SUKMA, Latif pada mulanya mengakui tidak berani menjanjikan pingat emas buat kontinjennya berikutan kecederaan buku lali kanan yang dialaminya ketika sesi latihan baru-baru ini.
Bagaimanapun Latiff telah menunjukkan aksi yang baik pada Sukma 2018 kali ini.