BATU GAJAH: Penantian hampir 80 tahun penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Papan untuk mendapat geran tanah bakal berakhir apabila mereka menerima Notis 5A yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Tokong Koon Yin, Papan hari ini, seramai 49 penduduk menerima Notis 5A mereka.
Dalam ucapannya, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri memahami harapan rakyat di RPT Papan yang telah menanti geran masing-masing selama hampir lapan dekad.
“Saya faham orang di sini dah lama tinggal di sini, sejak tahun 1940an. Kita (kerajaan negeri) sudah selesaikan masalah ini dalam tempoh kurang satu tahun.
“Ini adalah sebahagian dari keadilan yang kita mahu berikan kepada rakyat,” katanya.
Ahmad Faizal seterusnya menasihatkan para penerima Notis 5A untuk membayar premium tanah kediaman masing-masing di Pejabat Tanah berdekatan bagi membolehkan proses pengeluaran geran dilakukan.
Beliau berkata proses pengeluaran Notis 5A untuk baki 76 penduduk di RPT Papan sedang dalam proses dan akan diserahkan kepada penduduk sebaik selesai.
Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong, Penasihat Khas Menteri Besar, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar dan Pegawai Daerah Kinta, Haliza Sipun.
Sumber: Unit SU Akhbar Menteri Besar Perak