Reading Time: < 1 minute

Persatuan Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah cadangan pindaan pengezonan untuk guna tanah perniagaan di jalanraya Simpang Pulai – Cameron Highland dalam sesi pendengaran awam yang dijalankan di Pejabat Majlis Daerah Batu Gajah pada Khamis.

Sesi itu dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Negeri, YB Yong Choo Kiong pada Khamis.

Menurut SAM, cadangan Pindaan Pengezonan Blok Perancangan Kecil 4.2C (BPK 4.2C), Parcel A dan Parcel B, Jalanraya Simpang Pulai – Cameron Highlands Kepada Guna-tanah Perniagaan itu dibimbangi boleh menimbulkan impak kepada alam sekitar.

Kawasan cadangan pindaan pengezonan merupakan sebahagian daripada lingkungan Koridor Hidupan Liar dan ‘Central Forest Spine’ (CFS) Banjaran Titiwangsa yang dilitupi jenis hutan dipterokap atas (800 meter dari aras laut) serta dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 dan 2 (KSAS).

Kawasan tersebut juga merupakan sebahagian ‘tanah adat’ penduduk kampung Orang Asli berhampiran.

SAM menyatakan kebimbangan banjir lumpur dan gangguan bekalan air (tadahan) akan berlaku dan zon hidupan liar yang semakin terhad boleh menimbulkan konflik antara hidupan liar dan manusia.

Sesi pendengaran awam itu turut disertai oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam cawangan Perak (PEKA Perak) serta wakil masyarakat Orang Asli dari Kampung Pawong, Simpang Pulai.

Dalam sesi itu, SAM mencadangkan supaya Pihak Berkuasa Negeri mewartakan semula kawasan cadangan pindaan pengezonan kepada Hutan Simpanan Kekal (HSK) / zon hutan.