Kerajaan Pantau Semua GLC Pastikan Laksana Tanggungjawab Rancakkan Ekonomi

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan syarikat milik kerajaan (GLC) dipertanggungjawabkan untuk memajukan ekonomi negeri Perak supaya rakyat menikmati hasilnya.

Menurut beliau, GLC bukan sahaja berperanan untuk menjalankan perniagaan atas keuntungan syarikat malah merancakkan ekonomi negeri.

Katanya lagi, kerajaan negeri sentiasa memantau semua syarikat milik kerajaan untuk memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan.

“GLC dipertanggungjawabkan untuk memajukan ekonomi negeri dan memudahkan rakyat bukannya untuk menjalankan perniagaan atas keuntungan syarikat sahaja, malahan untuk merancakkan ekonomi negeri supaya rakyat mendapat hasil daripadanya,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas program temu bual di Perak FM bersama pemain E-Sport FIFA 18, Azroy Adyana Tajuddin atau lebih dikenali sebagai Nia Adyana di sini pada Khamis.

Ditanya mengenai bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan menerima rasuah, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan perkara itu kepada mahkamah.

Menurut beliau, rakyat perlu memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dalam kes tersebut.

“Apabila terdapat bukti salah laku, maka pendakwaan akan dilakukan dan tertuduh akan membela diri.

“Biarlah mahkamah membuat keputusan sama ada bersalah atau tidak kerana perkara ini di luar kawalan kita dan saya harap ia dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak Corporation Berhad (PCB), Datuk Aminuddin Md. Desa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah bagi kerja-kerja pembinaan rumah banglonya berjumlah RM455,660, dua tahun lalu.

Ditanya kemungkinan terdapat bekas CEO anak syarikat kerajaan negeri lain yang disiasat, Ahmad Faizal berkata, beliau tidak mengetahui mengenainya.

Menurutnya, beliau percaya pihak berkuasa tidak akan menghebahkannya jika ada siasatan.

“Saya percaya ada aduan tapi tak boleh kita nak umumkan, biar polis dan SPRM menjalankan tugas mereka dengan lebih mudah tanpa gangguan pihak lain,” katanya.