Bekas CEO PCB, Datuk Aminuddin Mengaku Tidak Bersalah Atas Tuduhan Menerima Rasuah

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perak Corporation Berhad (PCB), Datuk Aminuddin Md Desa mengaku tidak bersalah di depan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, S. Indra Nehru atas tuduhan menerima rasuah.

Aminuddin, 57, yang diwakili peguam bela Najmi Dawami Abd Hamid didakwa telah menerima suatu benda berharga iaitu pembayaran bagi kerja-kerja pembinaan rumah banglo tersebut di Lot PT2144059 Mukim Hulu Kinta, Ipoh dengan tiada balasan daripada Chua Kim Weng iaitu Pengarah Uni-poh Construction Works Sdn. Bhd., yang mana diketahui mempunyai hubungan dengan tugas rasmi dijalankan melibatkan kontrak cadangan kerja-kerja infrastruktur utama serta lain-lain kerja berkaitan di Bandar Meru Raya 2 (Zon 9) Mukim Hulu Kinta.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Berhad Cawangan Jalan Sultan Idris Shah di sini antara 17 Januari 2017 hingga 3 Julai 2017.

Pertuduhan yang dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 berserta seorang penjamin.

Bagaimanapun, Najmi Dawami Abd Hamid meminta supaya jaminan terhadap anak guamnya itu dikurangkan kepada RM15,000 dengan alasan tertuduh memberikan kerjasama baik, mempunyai tanggungan tujuh orang anak serta rekod perkhidmatan cemerlang selain tiada rekod jenayah lampau.

Hakim S. Indra Nehru membenarkan Aminuddin diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport diserahkan kepada SPRM serta menetapkan sebutan semula kes 22 Februari depan.