Keyakinan Terhadap Pimpinan Tun M Meyakinkan PH Menang PRK Cameron

  •  
  •  
  •  
Reading Time: 2 minutes

IPOH: Menteri Besar Perak , Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu optimis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menerajui kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyakinkan PH memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands 26 Januari ini.

Beliau yang juga Pengerusi PH Perak berkata, walaupun calon PH berdepan tentangan daripada calon-calon lain terutama BN namun ia tidak menjejas peluang PH untuk memenangi kerusi parlimen itu.

Ahmad Faizal juga menolak dakwaan kononnya Parlimen Cameron Highlands selama ini dianggap kubu kuat BN kerana yakin dan percaya pengundi di kawasan parlimen itu memberi sokongan dan keyakinan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dalam menerajui negara.    

Menurutnya, bersandarkan keputusan PRU14, jumlah undi yang dimenangi calon BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands tidak jauh berbeza apatah lagi Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan calon BN dari MIC, Sivarrajh terbatal dan tidak sah selepas memutuskan  berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

“Keyakinan dan sokongan rakyat termasuk pengundi di kawasan Parlimen Cameron Highlands terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir dalam menerajui kerajaan PH hari ini memberikan indikasi PH bakal memenangi pilihan raya kecil itu,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran diumum sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, 26 Januari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan perkara itu yakin Manogaran, yang sebelum ini merupakan calon kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, akan berjaya mendapat sokongan pengundi dan masyarakat Cameron Highlands.

“Kita akan menang dalam PRK ini, InsyaAllah kita akan menang.

“Kita tidak tahu siapa yang nak bersaing dengan kita, namun siapa pun yang akan bertanding kita percaya dapat atasi pencabar lain,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Kuala Lumpur  Jumaat lalu.

Pada 4 Jun tahun lepas, Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan bahawa keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang disandang Datuk C. Sivarraajh daripada Barisan Nasional (BN) terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 30 November 2018, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Sivarraajh terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada 28 Disember, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Sivarraajh, yang merupakan Naib Presiden MIC, tidak layak bertanding dalam PRK berkenaan.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR dengan 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

SPR menetapkan 12 Jan bagi penamaan calon PRK itu manakala hari mengundi awal 22 Januari dan hari pengundian 26 Januari.