Ramai Peniaga Little India `Gulung Tikar’ Gara-Gara Kebanjiran Peniaga Asing

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Isu semakin ramai peniaga di kawasan terkenal komuniti India, Little India `gulung tikar’ gara-gara kebanjiran peniaga warga asing di negeri ini mendapat perhatian kerajaan negeri Perak.

Ini susulan bantahan keras yang dibuat pengerusi persatuan itu, Puan Kala Balasubramaniam  yang menzahirkan kebimbangan satu persatu peniaga di Little India `gulung tikar’ kerana gagal bersaing dengan peniaga asing daripada Pakistan, India dan Bangladesh itu.

Beliau mendakwa, setakat ini sudah tiga kedai perniagaan termasuk sebuah syarikat tekstil terkenal di Little India telahpun menutup peniagaan mereka kerana harga barangan yang ditawarkan oleh peniaga asing terbabit jauh lebih murah berbanding peniaga tempatan.

Menurut Puan Kala, lebih parah lagi apabila mutakhir ini wujud karnival-karnival  jualan anjuran pihak-pihak tertentu bukan sahaja di Perak malah di Johor, Seremban dan Pulau Pinang sehingga menjejaskan perniagaan peniaga tempatan.

Beliau mempersoalkan bagaimana kebanjiran peniaga asing ini boleh berlaku dan apakah mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan seperti membayar cukai barangan dan sebagainya.

Beliau mendakwa pihak penganjur karnival tertentu ini bertindak atas platform `event management’  mengaut keuntungan besar `atas angin’ dengan menawarkan petak-petak  gerai jualan kepada peniaga asing terbabit.

“Selain bergerak di serata tempat, karnival ini sudahpun dikesan bergerak di kawasan kuil-kuil termasuk di Batu Cave.

“Sepatutnya pihak pengurusan kuil menumpukan kepada urusan agama dan bukan membenarkan pendatang asing ini berniaga di kawasan mereka terutama semasa berlangsungnya satu-satu perayaan.

“Kami  hairan bagaimana pihak berkuasa boleh membenarkan peniaga-peniaga asing  ini berniaga secara bebas sedangkan kemasukan mereka ke negara ini hanya sebagai pelawat atau pelancong sahaja.’’ Katanya kepada pemberita di Ipoh semalam.

Sementara itu ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang dilantik sebagai penasihat persatuan itu berjanji akan membawa perkara berkenaan kepada Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut beliau, sebagai langkah awal sebuah jawatankuasa bertindak dianggotai wakil persatuan dan agensi kerajaan seperti Imigresen dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

“Saya yang mengetuai pasukan ini akan turun ke bawah bersama pihak berkuasa untuk membuat pemantauan dan mengambil tindakan terhadap peniaga asing yang dikesan melanggari peraturan dan undang-undang,’’ katanya.

Tanpa menyalahkan mana-mana pihak beliau berkata, Perak akan menjadi negeri pertama mewujudkan jawatankuasa bertindak ini yang mungkin bakal diikuti oleh lain-lain negeri.

“Isu kebanjiran peniaga asing ini amat serius dan perlu ditangani segera kerana ia mengancam `perius nasi’ peniaga tempatan,’’ ujarnya.