UMNO Beruas-PAS Gesa PDRM Segera Siasatan Terhadap LGE

Reading Time: 2 minutes

PANTAI REMIS: UMNO Bahagian Beruas dan PAS kawasan Beruas tampil bersama membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Balai Polis Pantai Remis pagi tadi sebagai bantahan keras terhadap kenyataan Lim yang berbaur hasutan.

Laporan itu yang dibuat pada jam 9 pagi oleh Ketua Penerangan UMNO Bahagian Beruas, Haji Ahmad Wan Chik dan Yang Dipertua PAS Kawasan Beruas, Haji Zakaria Hashim menggesa pihak PDRM menjalankan penyiasatan atas kenyataan asal Lim Guan Eng di bawah Akta Hasutan 1948.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad bersama hampir 100 ahli kepimpinan UMNO dan PAS kawasan Beruas.

Menurut Haji Ahmad Wan Chik, UMNO Bahagian Beruas sependapat dengan PAS Kawasan Beruas supaya tindakan tegas dikenakan terhadap Guan Eng mengikut akta itu kerana dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan dan permusuhan kaum di negara ini.

Katanya, sebagai pemimpin politik Guan Eng sepatutnya sedia maklum tentang buruk baiknya jika mengeluarkan kenyataan berbahaya yang boleh mengundang kemarahan orang lain.

“Laporan ini kami buat supaya pihak PDRM membuat siasatan berhubung kenyataan Lim Guan Eng sesuai dengan Akta Hasutan 1948 atas kenyataan asal beliau yang berbunyi “UMNO PAS union a declaration of war on non-malays diterjemah kepada Bahasa Melayu bermaksud kesatuan UMNO-PAS pengisytiharan `perang ‘ ke atas bukan Melayu.

“Kenyataan ini kami anggap sebagai satu hasutan yang boleh mencetus api kebencian antara kaum di negara ini,’’ kata Haji Ahmad.

Haji Ahmad menegaskan kepimpinan UMNO Bahagian Beruas dan PAS Kawasan Beruas akan terus berkerjasama dalam apa juga cabaran yang dihadapi demi mempertahankan perpaduan ummah di negara ini.            

Kelmarin, sebuah portal memetik kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan PAS sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.

Bagaimanapun, selepas dikecam hebat, Setiausaha Agung DAP itu telah mengubah kenyataannya dan frasa ‘pengisytiharan perang’ ditukar kepada ‘menyasarkan’.

Sehingga kini Guan Eng masih belum meminta maaf dan pihak polis juga belum mengambil sebarang tindakan ke atas Menteri Kewangan tersebut walaupun pelbagai pihak mendesak agar kes itu disiasat di bawah Akta Hasutan