Apa yang saya ungkapkan dalam tajuk di atas memang mustahil untuk parti DAP menjadi parti memperjuangkan orang Melayu apa lagi menjadi lebih Melayu dari UMNO sendiri. Tapi itulah hakikatnya yang perlu berlaku jika DAP mahu mengekalkan kuasa melalui gabungan parti dalam Pakatan Harapan di Perak dalam pilihanraya umum ke-15.
Perkahwinan UMNO dan PAS sebenarnya tidak dinafikan menggugat keyakinan pemimpin PH Perak terutama mereka yang menang dengan undi cukup makan dalam PRU ke-14 lalu. Ada yang tidak dapat menahan kekecewaan lalu mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya. Ada beberapa pemimpin DAP yang tidak senang dengan perkembangan mutakhir ini sudah mula menulis merendah-rendahkan pendirian serta sikap PAS dan UMNO.
Boleh dikatakan dengan mudah dan tidak memerlukan ramalan ahli nujum terhebat bahawa Barisan Nasional akan kembali menguasai Perak dalam PRU ke-15 lagi beberapa tahun akan datang.
Sebab saya berkata demikian, jika diteliti jumlah undi yang dimenangi calon Amanah, PKR dan Bersatu dalam PRU lalu, kebanyakan mereka menang kerana faktor pecahnya undi Melayu kepada 3 blok, iaitu UMNO, PH dan PAS. Majoriti calon Melayu dari PH bertanding di kawasan majoriti Melayu, DAP pula bertanding di kawasan majoriti Cina. DAP meskipun tidak perlu risau tentang kerusi yang mereka duduki sekarang, tapi mereka perlu risau melihat kedudukan kerusi rakan mereka dalam PH sekarang yang dipegang oleh Amanah, PKR dan Bersatu.
Kerusi Parlimen Tambun Dalam Bahaya
Kerusi Titi Serong misalnya, amat pasti UMNO-PAS akan kembali merampas kerusi ini dalam PRU ke-15 nanti kerana jumlah undi PAS dan BN jika digabungkan akan meninggalkan PH jauh di belakang.
Begitu juga kerusi parlimen Tambun yang disandang oleh Menteri Besar dan DUN Hulu Kinta serta Manjoi. PH memang berada di dalam bahaya dan mereka perlu melakukan sesuatu, setidak-tidaknya bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk memenangi hati rakyat terutama orang Melayu. Itulah yang diungkapkan oleh Azmin Ali sebaik keputusan PRK Semenyih memihak kepada BN.
Seperti yang dikatakan, faktor utama kemenangan PH dalam PRU lalu adalah pecahnya undi Melayu kepada tiga. Perpecahan itu didorong oleh beberapa isu semasa yang berjaya menambat hati pengundi Melayu untuk mengalih sokongan kepada PH. Antara faktor itu ialah kleptokrasi, kebencian orang Melayu terhadap Perdana Menteri ketika itu, dan faktor Tun Mahathir yang dijanjikan akan diangkat menjadi Perdana Menteri jika PH menang.
Untuk berdepan dengan PRU ke-15 nanti, PH memerlukan faktor-faktor yang hampir serupa untuk mengekalkan kemenangan mereka. Tetapi nampaknya hari ini, ia tidak menyebelahi PH lagi. Memandangkan BN tidak lagi berkuasa, maka tidak lagi kedengaran kes-kes terbaru salahguna kuasa, rasuah yang boleh dilaporkan kerana mereka tidak lagi berada dalam kerajaan.
Sebaliknya PH pula menjadi pemerintah, kini mereka pula berdepan dengan cabaran sogokan rasuah dan salahguna kuasa, sama ada ia berlaku atau tidak, itu soal kedua.
Jika DAP mahu terus kekal menjadi sebahagian dari kerajaan yang memerintah, DAP harus mengubah misi Malaysian Malaysia mereka. DAP sepatutnya sedar tentang hal ini. Negara ini masih ada sistem Raja berperlembagaan. Dan raja-raja terdiri dari orang Melayu. Setiap kali persidangan Dewan, Raja yang merasmikan persidangan dan titah Raja yang dibahaskan.
Dalam konteks negara yang mejoriti adalah orang Melayu, malah Melayu adalah warga pribumi yang asal di negara ini, Malaysian Malaysia tidak sesuai dipromosikan di kalangan orang Melayu. DAP hanya mampu menjadi juara di kawasan yang majoriti penduduknya ialah kaum Cina atau lebih dikenali sebagai kawasan bandar. Semua orang tahu tentang ini. MCA tidak mendapat tempat di kalangan pengundi Cina kerana ia dilihat gagal mewakili mereka. Orang-orang Cina bergantung harap kepada DAP kerana ia dilihat lebih Cina dari MCA.
Untuk memastikan PH megekalkan kuasa, DAP perlu menjadi lebih Melayu dari UMNO dan lebih Islam dari PAS. Dan ia adalah hal yang amat mustahil.
~ Kulup Lembang
Tulisan ini tidak semestinya mewakili pendapat rasmi Independent