IPOH: Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI), Datuk Liew Sew Yee meminta kerajaan negeri terus memberi fokus kepada pembangunan ekonomi negeri dan mengetepikan konflik politik.
Menurut beliau, pemain industri perniagaan di Perak menzahirkan kebimbangan sekiranya spekulasi konflik politik ini tidak ditangani dengan baik kerana ia boleh mengganggu keharmonian masyarakat sekaligus membantut perkembangan ekonomi negeri.
Katanya, pemerintahan masa kini diterajui pemimpin yang majoritinya muka-muka baharu dalam arena pentadbiran sesebuah kerajaan.
Liew berkata, walaupun ada kalanya tidak sempurna namun semua pihak harus memberi sokongan dan peluang kepada pimpinan kerajaan masa kini untuk terus menerajui tampuk pemerintahan dalam penggal ini.
“Rakyat tidak harus terlalu awal menghakimi kerajaan sebaliknya berikan mereka masa dan ruang untuk menunaikan segala janji mereka dalam masa sepenggal iaitu lima tahun.
“Sekiranya kerajaan gagal menunaikan janji mereka, kita sebagai rakyat boleh melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk melakukan perubahan.
“Kita juga harus kurangkan ‘bermain politik’ serta mengelakkan daripada terus bermain dengan isu perkauman dan agama.
“Lebih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuhkan ekonomi negeri,” katanya kepada pemberita pada sesi sidang media bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu dan India Perak di Ipoh pada Isnin.
Beliau turut menekankan bahawa tidak adil untuk membandingkan prestasi kerajaan yang baru ditubuhkan tidak sampai setahun dengan kerajaan lama yang telah memerintah selama lebih enam puluh tahun.
“Jika hendak bandingkan, maka tunggu kerajaan yang ada hari ini memerintah sehingga 60 tahun juga barulah adil,” katanya.