DPPMP Sokong Usaha Kerajaan Perak Bangunkan Ekonomi

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Perak (DPPMP) melihat kerajaan baru pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sedang mengambil langkah serius membangunkan ekonomi negeri untuk kepentingan rakyat.

Presidennya, Datuk Muhammad Muhiyuddin  Abdullah berkata, langkah itu termasuk membantu melahirkan ramai usahawan kecil dan sederhana selain mengembangkan perniagaan para usahawan bumiputera sedia ada di negeri ini.

Menurut beliau, pihak DPPMP tidak menghadapi halangan malah sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama mantap kepada kerajaan negeri yang sudahpun dilihat melakukan perubahan dalam usaha membangunkan ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri telah dan sedang melakukannya secara profesional termasuk membawa masuk pelabur luar dan dalam negeri untuk melabur di Perak,” katanya kepada Independent.my pada Isnin. Beliau ditemui selepas  mengadakan sidang media bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina dan India Perak di Ipoh.

Muhiyuddin berkata, selain pelabur luar, pelabur dalam negara turut datang melabur di Perak – sebagai contohnya sebuah syarikat penternakan ayam daging dan sarung tangan telah membuka kilang mereka di Teluk Intan.

“Kerajaan negeri juga memberi peluang dan ruang kepada usahawan untuk meningkatkan operasi perniagaan mereka terutama dalam sektor makanan halal, penternakan dan pelancongan.

“Dalam konteks ini pihak Dewan (DPPMP) sedang merangka kerjasama jitu dengan kerajaan negeri untuk melahirkan ramai usahawan kecil dan sederhana Melayu di negeri ini,” ujarnya.

Menurut Muhiyuddin, memandangkan senario baik ini memberikan momentum kepada pembangunan ekonomi negeri beliau meminta kerajaan negeri memberikan tumpuan utama kepada usaha membangunkan ekonomi rakyat dan negeri Perak.

Beliau berpendapat, kerajaan negeri harus mengetepikan rintangan dan gangguan yang ditimbulkan pembangkang mutakhir ini dengan memberi fokus kepada usaha membangunkan ekonomi negeri dan kepentingan serta keperluan rakyat.

Ikuti temubual Datuk Muhiyuddin di Youtube.