IPOH | Mantan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga ADUN Pangkor dan ADUN Slim, Datuk Khusairi Talib diminta membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam kepada Dewan Undangan Negeri Perak.
Ini susulan ciapan yang dibuat Zambry di dalam Twitter beliau yang menyebut hari terburuk dalam sejarah sidang DUN Perak bila Speaker buat keputusan untuk usul isytihar harta kepadanya sedangkan sebenarnya usul itu telah dibahas di dalam Dewan.
“Ia menyebut hari terburuk dalam sejarah Sidang DUN Perak bila Speaker buat keputusan untuk isytihar harta kepadanya. Kami berhujah untuk isytihar kepada SPRM bukan kepada Speaker sebab dia orang politik.
“Malah kami syorkan by-partisan comm untuk bincang bersama. Semuanya dilanggar dengan cara seorang diktator,” demikian ciapan tersebut.
Menurut Adun Aulong, Nga Kor Ming, Zambry dan Khusairi boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan hukuman setimpal boleh dikenakan atas kelakuan menghina Dewan yang mulia.
“Sebagai pemimpin yang berwibawa saya ingin memberi peluang kepada Zambry dan Khusairi supaya minta maaf kepada Dewan yang mulia ini dalam tempoh 24 jam.
“Sekiranya mereka tidak menafikan ini adalah ‘tweet’ mereka tindakan yang bersandarkan lunas undang-undang tidak boleh dikompromi.
“Sekiranya mereka mohon maaf terpulanglah kepada Yang Dipertua Dewan sama ada menerima permohonan maaf mereka atau sebaliknya,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan Adun pembangkang yang keluar Dewan sewaktu perbahasan tentang penambahbaikan pengurusan MB Inc., Nga Kor Ming menyebut tindakan tidak ubah seperti kebudak-budakan.
“Itu tindakan orang yang tidak matang. Seperti kebudak-budakan, katanya.