IPOH | Kumpulan Pro98 Reformasi Perak meminta Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mengundur diri sebagai Menteri Besar Perak demi memulihkan keyakinan penyokong Pakatan Harapan (PH) serta Rakyat negeri Perak.
Setiausahanya, Sazali Shamsudin mendakwa rakyat Perak khususnya penyokong PH umumnya mengetahui Menteri Besar mengamalkan amalan kronisme dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau menyebut contoh dengan mendakwa pengagihan jawatan-jawatan dalam kerajaan kepada pimpinan keempat-empat rakan parti komponen dalam PH tidak diagih dengan saksama.
“Kami kecewa dengan sikap Menteri Besar dari Bersatu dan juga Exco dari Amanah yang hanya mengutamakan kroni mereka sahaja dalam mengisi jawatan di GLC, agensi kerajaan, kepimpinan kerajaan tempatan serta jawatan dalam MPKK.
“Sebaliknya kroni dan rakan beliau dari Bersatu yang diberi keutamaan,’’ dakwanya dalam satu memorandum yang dibacakan pada himpinan aman Pro88 Reformasi Perak di hadapan bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Beliau turut mendakwa dalam memorandum itu bahawa Menteri Besar tidak mempunyai komitmen berbincang dengan pemimpin-pemimpin PH.
“Kami mewakili rakyat marhaen ingin menegaskan supaya karenah birokrasi yang menyusahkan rakyat hendaklah segera diperbaiki.
“Semua urusan permohonan mestilah dipermudahkan dan keperluan tindakan balas yang segera.
“Perbuatan sabotaj di kalangan sebahagian pegawai dan penjawat awam hendaklah dihentikan dengan segera oleh kepimpinan utama kerajaan negeri,’’ katanya.
Beliau menegaskan seluruh kepimpinan bermula dari Menteri Besar, barisan Exco, pegawai dan penjawat awam serta semua agensi kerajaan perlu memberi keutamaan terhadap usaha membantu rakyat.
“Permudahkan prosedur permohonan serta hapuskan karenah birokrasi yang menjejaskan proses penyampaian kerajaan ,’’ kata Sazali.
Pada himpunan itu 98 Reformasi menyerahkan 59 salinan memorandum kepada Pegawai Khas 2 Pejabat Menteri Besar, Mohd Jeffrey Mohd Zainol.