Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dalam satu kenyataan di laman sosial rasminya memohon maaf atas insiden di mana seorang wanita yang mengidap kanser terpaksa hadir dalam keadaan diusung ke pejabat KWSP di Johor Bahru untuk menandatangani pengeluaran dana persaraannya.
“KWSP amat kesal dan mohon maaf atas pengalaman kurang menyenangkan yang dialami ahli tersebut dan keluarganya. ”
“Pihak KWSP telah menghubungi dan berjumpa dengan ahli tersebut dan keluarganya untuk memahami situasi ini dengan lebih lanjut. Ini bukan sahaja bertujuan membantu kes ahli tersebut, malah kami akan menggunakan pengalaman kali ini untuk memperbaiki proses yang sedia ada supaya kami dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan prihatin kepada ahli-ahli kami,” menurut kenyataan di Facebook rasmi KWSP hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas seorang netizen bernama “Nur Sheila Abdullah” membuat kenyataan berkenaan insiden kakaknya yang mengidap kanser itu menjadi tular di Facebook pagi tadi.
Nur Sheila berkata, kakaknya yang berusia 56 tahun mahu membuat pengeluaran semua dana dalam Akaun 1 untuk rawatan perubatannya.
“Tak banyak, tak sampai RM10 ribu pun … kami meminta jasa baik pegawai KWSP untuk membuat lawatan ke rumah untuk mendapatkan cap jari secara manual untuk pengesahan. ”
“Jawapan beliau (pegawai itu) agak mengecewakan, katanya tidak boleh. Pencarum mesti menghadirkan diri di pejabat untuk pengesahan cap jari menggunakan mesin mereka. ”
“Tidak kisah jika dia datang dengan ambulans atau stretcher, janji dia datang,” kata pegawai itu menurut Nur Sheila.
Nur Sheila berkata sama seperti adik-beradiknya dan dia melakukannya – menghantar kakak mereka ke pejabat KWSP dengan ambulans.
Di pejabat KWSP, Nur Sheila berkata, amat menyedihkan pihak keselamatan meminta ambulans yang disewa diletak di belakang bangunan kononnya ‘supaya tidak menghalang pintu hadapan’.
“Akhirnya, seorang pegawai meminta pembantu perubatan untuk membawa ke kaunter … Saya sedih melihat kakak saya, yang tidak mempunyai kekuatan untuk mengangkat tangannya, menjadi tontonan orang ramai.
Nur Sheila meyatakan kekesalannya apabila pegawai memberitahu boleh datang ke rumah mengambil tandatangan secara manual tapi akan mengambil masa yang lama malangnya mereka tidak pula memberitahunya sebelum itu. Baginya lama atau tidak tidak menjadi hal asalkan kakaknya tidak perlu diusung sedemikian rupa ke pejabat KWSP.
Dengan kejadian sebegini, Nur Sheila menggesa pihak KWSP memperbaiki prosedur operasi standardnya.
KWSP, dalam kenyataannya, memohon maaf atas ketidakselesaan itu.
“Kami ingin menekankan bahawa KWSP mengambil aduan dan maklumbalas dari ahli mengenai perkhidmatan kami dengan serius untuk penambahbaikan berterusan,” katanya.