KPDNHEP Perak serah 43 notis di bawah Ops Catut 6.0

Reading Time: < 1 minute

Sebanyak 43 premis pelbagai jenis perniagaan di Perak diberikan notis pengesahan maklumat harga barangan dan perkhidmatan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri di bawah Ops Catut 6.0.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak V. Ravichandran berkata tempoh perlaksanaan operasi itu adalah selama tujuh bulan bermula 1 Disember lepas sehingga 30 Jun tahun hadapan.

“Operasi ini melibatkan tiga fasa, fasa pertama dari 1 Dis sehingga 31 Dis kita akan serahkan notis bertulis, kemudian fasa kedua dari 1 Jan sehingga 31 Mei kita buat pengesahan semula ke atas premis yang sama untuk mengesan perubahan harga.

“Manakala fasa ketiga dari 1 Jun sehingga 30 Jun kita akan sediakan laporan khusus penguatkuasaan Ops Catut 6.0, maknanya selepas bulan Jun kita akan berikan laporan mengenai operasi ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan Ops Catut 6.0 di sebuah pasaraya di Bercham, Ipoh, hari ini.

Ravichandran berkata sekiranya pihak KPDNHEP dapat mengesan berlaku perubahan harga atau margin keuntungan berlebihan, notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan diserahkan kepada pemilik premis.

Jelas beliau, penguatkuasaan itu mengambil kira enam kategori barangan iaitu barangan makanan dan minuman, barangan isi rumah, tekstil, perabot, kasut, dan barangan elektrik, yang melibatkan semua peringkat perniagaan termasuk pengilang, pengedar, pemborong dan peruncit.

Dalam perkembangan berkaitan, Ravichandran berkata sejak 1 Jan 2019 sehingga hari ini, KPDNHEP Perak telah mengambil tindakan ke atas 1,261 premis perniagaan yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, AKHAP 2011 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

“Bagi tempoh itu, pelbagai barang jualan bernilai RM4.17 juta dirampas, manakala nilai kompaun yang dikutip pula menjangkau jumlah RM363,200, dan jumlah denda yang dikenakan adalah RM137,100,” katanya.

-Bernama