Polis Tumpas Kegiatan Seludup Rokok Bernilai RM4.3j

Reading Time: < 1 minute

IPOH, 25 Dis — Polis berjaya merampas 25,850 karton rokok bernilai RM4.3 juta yang lari daripada cukai dengan penahanan tiga lelaki termasuk dua warga Bangladesh di sebuah gudang di Wisma Ransons, Jalan Station, Tapah pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata ketiga-tiga lelaki berusia 20 hingga 47 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman pada kira-kira pukul 10.30 malam.

“Hasil pemeriksaan dalam gudang itu telah menjumpai 20,000 karton rokok pelbagai jenama dan pemeriksaan lanjut turut menemui 1,150 karton rokok di dalam lori canvas jenis Isuzu dan 4,700 karton rokok di dalam lori bounded jenis Hicom,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua yang ditangkap akan dituduh di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang mana boleh dihukum mengikut Seksyen 135 akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

— BERNAMA