Pengalaman Seram Ketika Menginap Di Hotel

Reading Time: 4 minutes

Memandangkan ini musim cuti dan hujung tahun, ramai yang mengambil peluang untuk membawa keluarga bercuti tidak kira di dalam mahupun luar negara. Tapi kali ini Admin nak menulis sedikit tentang hal yang berbeza.

Admin sebenarnya nak berkongsi pengalaman seram Admin sebelum-sebelum ini ketika bercuti mahupun bertugas yang memerlukan Admin menginap di beberapa lokasi hotel di dalam negara.

Kalau rasa tak berminat dengan topik kali ini, terserah kepada pembaca boleh tinggalkan Admin sekarang. Pergi cari bahan lain yang dirasakan lebih berfaedah untuk dibaca.

Apa yang Admin tulis berikut ini merupakan pengalaman Admin sendiri dan Admin pun tak pasti apakah ia khayalan atau realiti. Maklum sajalah, kadangkala sesuatu perkara boleh berlaku akibat kita keletihan, atau waktu kita sedang terlalu mengantuk dan fikiran kita ketika itu tidak dapat fokus dengan lebih baik.

Salah satu pengalaman yang Admin pernah alami dan Admin rasa ramai juga pernah melalui pengalaman serupa ketika menginap di hotel ialah mendengar bunyi-bunyian yang tidak sepatutnya.

Bunyi Guli Jatuh

Bunyi yang Admin pernah dengar ialah bunyi guli jatuh bertaburan di atas lantai simen atau jubin. Ianya berulang-ulang kali. Seperti kedengaran ada budak-budak sedang bermain dengan guli-guli itu dan sengaja menjatuhkannya di atas lantai. Ada kalanya bunyi itu perlahan dan ada kala kuat. Tapi yang lebih pelik, ia berlaku ketika waktu yang tidak seharusnya terjadi – pukul 2 pagi hingga 5 pagi. Anak siapakah yang bermain guli pada waktu sedemikian?

Admin ada membaca teori dan melihat simulasi saintifik beberapa pihak yang cuba berteori bahawa bunyi guli itu sebenarnya datang dari tindakbalas air di dalam paip atau disebut ‘water hammer effect’. Tapi Admin tak bersetuju dengan teori itu kerana bunyinya tidak sama. Tambahan pula ia berlaku berulang kali pada waktu orang sedang tidur, tiada siapa yang membuka dan menutup paip air pada waktu begini. Hanya mereka yang pernah mengalaminya akan tahu membezakan antara bunyi air dalam paip dan bunyi guli jatuh. Tapi pada waktu kejadian, Admin tidak pernah terfikir sesuatu yang menyeramkan tentang bunyi ini kerana Admin tidak pernah diberitahu sesiapa. Pada masa itu, Admin hanya rasa pelik tetapi terpaksa abaikan saja dan akhirnya hilang setelah hanyut dalam mimpi.

Seretan Perabot Yang Besar atau Berat

Satu lagi bunyi-bunyian yang Admin pernah alami ketika bermalam di hotel ialah bunyi orang seret perabot. Seperti pembekal perabot baru menghantar perabot baru ke hotel itu dan pekerja mereka sedang memindahkan atau menyusun perabot ke tempatnya. Yang peliknya, ia berlaku pada waktu yang tidak munasabah juga iaitu antara pukul 2 pagi hingga 5 pagi. Admin rasa pelik kenapalah pekerja hotel itu tidak boleh tunggu hingga esok pagi baru mereka susun perabot, kenapa nak buat malam-malam begini ketika tetamu hotel sedang tidur?
Untuk fenomena seret perabot ini, Admin tidak menemui alasan yang logik atau saintifik yang boleh menjelaskan perkara ini.

Ada yang berteori ia akibat peruabahan suhu menyebabkan perabot bergerak sendiri. Ia tidak masuk akal jika sesiapa pernah mendengarnya, pasti tahu ia bukan seretan yang biasa yang boleh bergerak sendiri akibat perubahan suhu. Ia seperti seretan perabot yang berjarak bermeter-meter jauhnya dan bunyinya seperti mengheret perabot yang amat besar dan berat.
Pada waktu kejadian, Admin juga terpaksa tidak mahu menghiraukan apabila mendapati ia tidak berhenti, seperti terlalu banyak perabot yang diseret tidak habis-habis satu malam.

Bunyi seret perabot ini Admin pernah alami di beberapa hotel di Taiping dan Cameron Highland. Adakalanya hanya bunyi guli. Ada masa ia datang secara beregu dengan bunyi seret perabot.

Bunyi Pintu Diketuk

Ini kejadian yang agak lebih mencabar. Pernah sekali ketika menginap di sebuah resort di Sarawak, pintu diketuk orang pada waktu malam. Mula-mula bunyi agak perlahan. Kemudian semakin kuat. Admin jadi takut hendak membuka apalagi mengintai melalui peephole pintu.

Untuk makluman, bilik Admin menginap itu merupakan sebuah unit chalet yang berasingan terletak di tepi pantai.

Memang agak menyeramkan kalau megintai ke luar pada waktu itu.

Admin telefon ke Receptionist sebaik ketukan berhenti. Admin bertanya adakah terdapat ‘room service’ yang datang pada waktu malam-malam begini, katanya tiada.

Bunyi Orang Berkelahi Di Bilik Sebelah

Ini Admin benar-benar tidak pasti apa yang berlaku. Sama ada memang benar ada orang berkelahi di bilik sebelah atau bilik tingkat atas Admin tak dapat nak pastikan. Dan tidak jelas bahasa apa yang dituturkan kerana kedengaran sayup-sayup sahaja. Cuma agak pelik jika orang menginap di hotel biasanya bertujuan untuk bergembira bukannya berkelahi. Boleh jadi suara dari TV yang dipasang agak kuat sehingga boleh didengar hingga ke bilik Admin.

Ada beberapa hotel lain yang Admin pernah menginap dengan selesa tanpa ada apa-apa ‘gangguan’ tetapi apabila membaca kisah-kisah di internet, mereka mendakwa mengalami ‘gangguan’ di hotel-hotel tersebut.

Mungkin ‘gangguan’ itu berlaku di bilik-bilik tertentu atau di tingkat tertentu sahaja.

Admin bersyukur setakat itu sahaja gangguan yang pernah dialami – tidak lebih dahsyat dari itu. Mengikut kategori paranormal, bolehlah dianggap hanya sebagai ‘Close Encounters of the First Kind’ – sekadar mendengar bunyi-bunyian. Belum sampai ke tahap melihat dengan mata atau merasai secara fizikal.

Berikut ada beberapa nasihat yang boleh Admin kongsikan sebelum pembaca membuat keputusan untuk memilih hotel diharap ia boleh dijadikan panduan yang berguna.

1. Buat tempahan bilik terlebih dahulu secara online. Kalau boleh elakkan datang tanpa membuat tempahan dan bertanya sama ada terdapat bilik kosong ketika sampai. Ada kemungkinan anda akan mendapat bilik yang misteri.

2. Jaga adab sebagai tetamu apabila pergi ke tempat yang kita tidak pernah sampai sebelum ini. Beri salam ketika memasuki bilik dan basuh kaki terlebih dahulu. Jangan lupa solat dan berzikir sebelum tidur.

3. Elakkan menginap di lokasi-lokasi terpencil. Seeloknya biarlah di kawasan yang riuh rendah sedikit dari terlalu sunyi seperti dalam kawasan hutan.

4. Sentiasa bekalkan diri dengan bacaan ayat-ayat pelindung diri seperti mmebaca ayat Kursi, surah Al-Ikhlas, surah Al-Falaq dan surah An-Nas serta ayat pendinding. Ingat, kita sentiasa menyembah Allah Yang Maha Esa dan Dia sentiasa bersama kita.