SABAH | Proses penyerahan borang penamaan calon Pilihan Raya Kecil P176 Kimanis ditutup pagi ini dengan menyaksikan dua calon masing-masing dari parti Warisan dan Barisan Nasional mencalonkan wakil mereka.
Parti Warisan menampilkan Datuk Karim Bujang, 67, yang menjadi calon pada pilihan raya yang lalu. Karim menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.27 pagi manakala BN menampilkan seorang peguam, Datuk Mohamad bin Hj. Alamin, 47, yang menyerahkan borang lebih awal.
Perkara itu disahkan oleh Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kimanis, Jupri @ Jupri Itok selepas selesai proses pencalonan di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banis, Beaufort pagi ini.
PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Anifah Aman yang memenangi kerusi itu pada PRU ke-14 lalu.
Anifah menang dengan majoriti 156 undi tetapi dibatalkan selepas didapati ada kertas undi tambahan yang menjejaskan keputusan pilihan raya.
Beliau memperolehi 11,942 undi berbanding 11,785 undi yang diperolehi Karim Bujang.