Exco Perak Mohon Maaf Ekoran Foto Tular Langgar Perintah PKP

Reading Time: < 1 minute

Exco Perak, Hj Razman Zakaria melalui satu hantaran di akaun Facebook peribadinya hari ini meminta maaf kepada seluruh rakyat atas insiden menghadiri jamuan makan beramai-ramai di suatu lokasi di Lenggong, Perak sehingga tular dan mendapat kecaman netizen.

Menurutnya, permohonan maaf itu adalah sebagai pencerahan dan bukannya untuk dikecualikan dari tindakan undang-undang.

Beliau menjelaskan bahawa setiap hari beliau bergerak untuk membantu membawa sumbangan untuk ‘frontliners’ terutama petugas kesihatan.

Katanya lagi, beliau dan pasukan petugasnya menitik beratkan perihal prosedur operasi standard (SOP) dan jika ada tindakan yang dilihat melanggar SOP beliau dan pasukannya akan mengatasinya.

Semalam tular di media sosial menunjukkan siri foto beliau dan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Noor Azmi Ghazali makan secara beramai-ramai dalam keadaan tidak mematuhi penjarakan sosial. Ini bertentangan dengan saranan kerajaan supaya tiada perhimpunan atau majlis kenduri dibenarkan sepanjang tempoh PKP. Sebelum ini, seorang lelaki telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah kerana membuat rakaman majlis makan sup kambing beramai-ramai.

Foto yang dikongsi di akaun media sosial Noor Azmi telah dinyahaktifkan sebaik menerima kritikan dari netizen.