Kes Baru Koronavirus Kekal 2 Digit, 1 Maut

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini melaporkan 84 kes baru koronavirus manakala jumlah yang telah pulih dan dibenarkan pulang sebanyak 95.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif ialah 5,389 dan jumlah yang telah sembuh ialah 3,197, bersamaan dengan 59.3% dari jumlah keseluruhan – melebihi jumlah kes yang sedang dirawat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian di sini berkata jumlah yang sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif ialah seramai 46 dan 26 darinya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagaimanapun terdapat satu laporan kematian pada hari ini iaitu melibatkan seorang lelaki rakyat tempatan berumur 51 tahun mempunyai latar belabelakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan buah pinggang.

Noor Hisham juga turut memberitahu bahawa terdapat kluster baru dikesan di pintu masuk negara ini iaitu di lapangan terbang Kuala Lumpur melibatkan rakyat Malaysia yang pulang dari Indonesia pada 16 April 2020.

Kluster ini terdiri dari 43 orang pelajar yang pulang dari tempat yang diisytiharkan sebagai zon merah di Indonesia. Kesemuanya telah dikuarantin di Melaka dan Kuala Lumpur.

“Ini menunjukkan bahawa tindakan kerajaan mengambil langkah untuk mengkuarantin dan menyaring semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah bertepatan.

“Ini bagi memastikan kes import tidak menjangkiti penduduk Malaysia,”kata Noor Hisham.