Pemuda PAS Perak Tuntut Dua Wakil Rakyat DAP Mohon Maaf Kepada Rakyat Kelantan

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Ketua Pemuda PAS Perak yang juga wakil rakyat Selama, Mohd Akmal Hj. Kamaruddin berkata tindakan Chong Zhemin (Adun Keranji) membuat kenyataan dalam portal dalam talian Malaysiakini pada 21 Mac 2019 yang menyerang kerajaan Kelantan dengan mendakwa ketiadaan panggung wayang sebagai punca peningkatan kes HIV adalah kenyataan yang biadap.

Menurut Akmal, jika beliau benar-benar profesional, beliau sepatutnya bercakap tentang negeri Selangor kerana Selangor adalah negeri dengan bilangan kes HIV tertinggi di Malaysia.

“Kes HIV ini masalah bersama, masalah negara … tak boleh salahkan sebab tak ada pawagam, ada pawagam.

“Kita anggap ini kenyataan yang jahat dan menyinggung perasaan rakyat Kelantan.

“Polisi tiada pawagam di Kelantan dibuat semasa Almarhum Tuan Guru Nik Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan dahulu ketika itu DAP bersama di dalam Pakatan Rakyat, kenapa dahulu mereka tak cakap dan hari ini mereka cakap?,” soal Akmal kepada wartawan di Bilik Sidang Media Bangunan Darul Ridzuan semalam.

Beliau menuntut Adun Keranji itu tampil memohon maaf kepada rakyat Kelantan yang tidak kisah pun mereka tiada pawagam di negeri itu. Menurutnya, semua orang tahu bahawa Kelantan negeri yang bersempadan dengan Thailand, oleh sebab itulah bilangan kes HIV tinggi.

Akmal juga menyelar pemimpin Amanah di dalam Pakatan Harapan yang berdiam diri tidak menegur kebiadapan Adun Keranji itu.

“Pemimpin Amanah satu masa dahulu bersama PAS kenapa mereka tidak menegur kebiadapan Adun Keranji?” soalnya.

Selain itu, Akmal juga turut menuntut Adun Aulong (Nga Kor Ming) membuat permohonan maaf kepada ahli PAS dan UMNO kerana mengaitkan perpaduan PAS-UMNO sebagai ala-Taliban di Afghanistan.

“Ini satu lagi kenyataan biadap dan sehingga hari ini tiada permohonan maaf dibuat kepada ahli PAS dan UMNO dan seluruh mereka yang menyokong perpaduan antara PAS-UMNO,” katanya.

Beliau memberikan contoh jika benar PAS UMNO itu Taliban, kenapa patung terbesar atau kedua terbesar di Asia Tenggara dibiarkan di Kelantan dan tidak ada satu kuil pun dirobohkan di Kelantan sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan.

Menurutnya lagi, peristiwa rusuhan kaum 13 Mei tidak berlaku di Kelantan kerana kerajaan Kelantan melindungi orang-orang bukan Islam ketika itu. Beliau menuntut kedua-dua Adun Keranji dan Aulong membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Kelantan dan ahli PAS dan UMNO khasnya.