Ahli Majlis MDTM Gesa Polis Siasat Kenyataan `Kisah Luar Tabii, Undang2 Rimba’  Di Facebook Adun Slim

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Ahli Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) telah membuat satu aduan polis terhadap Adun Slim, Datuk Khusairi Talib berhubung beberapa tuduhan berunsur fitnah yang dimuat naik dalam media sosial milik Adun berkenaan baru-baru ini.

Sehubungan itu, mereka menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Datuk Khusairi kerana membuat tuduhan berunsur fitnah yang boleh menjejaskan imej parti kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mereka yang membuat laporan polis di Balai Polis Slim River pada jam 4.00 petang tadi menggesa PDRM menyiasat kenyataan Khusairi iaitu kisah di luar tabi’i yang berlaku di hotel Sunway Penang – satu tuduhan fitnah yang tidak berasas dan menghina kewibawaan ahli Majlis Daerah Tanjung Malim.

Khusairi dalam kenyataannya menyebut ada kisah luar tabi’i berlaku di Hotel Sunway, Georgetown, Pulau Pinang pada 1 Julai lalu melibatkan ahli-ahli MDTM. Namun Kisah itu tiada kaitan dengan apa yang berlaku di sebuah hotel di Sandakan atau di sebuah rumah Exco di Meru, Ipoh.

Mesyuarat penuh ahli-ahli MDTM telah diadakan di hotel itu dan telah membuat satu keputusan luar biasa dengan membelakangkan prosedur pentadbiran Kerajaan Tempatan.

Khusairi mendakwa, dikhabarkan bahawa kejadian luar biasa itu akibat daripada arahan dan campurtangan seorang pemimpin parti PKR bergelar Ahli Parlimen terhadap ‘macai-macainya’ yang dilantik secara politik selaku Ahli Majlis MDTM.

“Agaknya mereka fikir mesyuarat penuh Majlis Daerah sama dengan mesyuarat pemilihan jawatan cabang dan ranting PKR yang selalunya kecoh dan hanya boleh diselesaikan melalui adegan baling kerusi dan tumbuk menumbuk.

“Proses memilih penjawat Kerajaan Tempatan termasuk MDTM perlu melalui satu Jawatankuasa Perlantikan yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Majlis dan panelnya dianggotai oleh beberapa orang Ahli Majlis dan pegawai dari SUK atau wakilnya yang boleh terdiri dari Ketua Jabatan dari daerah lain.

“Selepas Jawatankuasa Perlantikan ini membuat keputusan, barulah keputusan itu di bawa ke Mesyuarat Penuh MDTM untuk disahkan,” seperti yang dinyatakan di laman sosial beliau.

Menurut Khusairi, apa yang berlaku di Hotel Sunway Penang baru-baru ini  agak pelik. Ahli Majlis dari PKR terus mencadangkan satu nama untuk dilantik ke jawatan Pegawai Undang-Undang Gred41 (PU41).

Walaupun dibantah oleh YDP dan beberapa ahli majlis dari parti lain kerana ianya melanggar prosedur tetapi setelah berlaku pertengkaran besar, cadangan luar biasa itu terpaksa diteruskan juga bagi mengelak kekecohan lebih tgeruk dalam bilik mesyuarat hotel .

Beliau mendakwa telah berlaku pengundian di antara 21 Ahli Majlis MDTM. Semua Ahli Majlis PKR dan Bersatu menyokong lantikan itu  bersama seorang dari DAP, sementara yang lain termasuk dari Amanah dan YDP berkecuali.

Apa yang saya nak kata, undang-undang rimba sudah dibawa dalam mesyuarat penuh MDTM. Mungkin ianya hasil daripada tebalnya sikap rasis di kalangan mereka.

MDTM mempunyai seorang PU41 yang masih bertugas. Atas alasan apa tugasnya perlu ditamatkan dan digantikan dengan orang lain melalui cara tidak mengikut peraturan seperti itu?

Sewajarnya pemilihan baru mengikut prosedur dan melalui Jawatankuasa Perlantikan MDTM dilakukan. Pihak pentadbiran kerajaan Negeri Perak dan Menteri Besar DS Peja Azumu  digesa supaya menolak keputusan luar biasa mesyuarat penuh MDTM berkenaan.

Mesyuarat penuh MDTM bukan badan tertinggi yang boleh melanggar prosedur pentadbiran dan bukan juga sama dengan mesyuarat cabang, ranting atau pucuk sebuah parti politik, dan yang lebih penting MDTM bukan tempat longgokan sampah walaupun antara tugasnya membersihkan sampah.