PARLIMEN: Umur 18 Tahun Layak Mengundi

Reading Time: < 1 minute

Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul melayakkan warga negara Malaysia berumur 18 tahun mengundi dalam pilihanraya. Rang undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipinda itu mendapat sokongan 211 anggota parlimen.

Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun pertama kali dibentangkan pada 4 Julai sebelum ditarik balik pada 10 Julai bagi memasukkan cadangan pindaan berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya.

Bagi melaksanakan dan menguatkuasakan pindaan berkenaan, beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 perlu dibuat.

Kerajaan Negeri juga harus membuat pindaan terhadap peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Negeri atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing bagi membolehkan calon Dewan Undangan Negeri diturunkan.