Amanah Perak Kecam Kenyataan Timbalan Ketua Pemuda MCA

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mengecam keras kenyataan Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong yang mempertikai persetujuan kerajaan menawarkan biasiswa kepada pelajar Palestin.

Sehubungan itu beliau menuntut Tan Chee Hiong memohon maaf susulan kenyataannya yang tidak berpuas hati dengan persetujuan kerajaan menawarkan biasiswa kepada pelajar Palestin bagi melanjutkan pengajian di 12 buah universiti di negara ini.

Menurut beliau, Chee Hiong tidak seharusnya bersikap biadab dengan mempertikaikan pemberian biasiswa tersebut yang ditawarkan bagi pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Umum mengetahui bahawa hubungan rapat antara Malaysia dan Palestin telah terjalin begitu lama. Sikap Malaysia jelas dalam hal ini iaitu Palestin adalah sebuah negara yang tertindas dan perlu dibantu dalam segenap aspek termasuk pendidikan.

“Oleh itu, pemberian biasiswa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada pelajar Palestin bagi meneruskan pengajian di negara ini adalah selari dengan dasar luar Malaysia terhadap Palestin dan akan menjadi contoh kepada negara-negara lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hasnul mengulas kenyataan Chee Hiong seperti dilaporkan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily yang antara lain memetik dakwaan beliau bahawa pelajar bukan Bumiputera tertekan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

Menurut laporan itu, Chee Hiong berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menjaga keperluan semua kaum di negara ini dan bukan hanya mengambil berat perihal kaum Cina atau bukan Bumiputera ketika pilihan raya umum.

Hasnul berkata, Chee Hiong bersikap tidak adil dan cuba memutar belit fakta sebenar apabila mendakwa kerajaan Pakatan Harapan meminggirkan kaum Cina dan bukan Bumiputera dalam pendidikan.

Beliau berkata, antara inisiatif yang telah diambil kerajaan pada pembentangan Bajet 2019 ialah memperuntukkan sejumlah RM 165 juta kepada sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah mubaligh dan sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) bagi tujuan naik taraf dan penyelenggaraan.

Katanya, kenyataan tidak berlandaskan fakta oleh Chee Hiong itu adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan perlu dikecam kerana berpotensi menimbulkan salah tanggapan dalam kalangan rakyat.

“Semua pihak terutamanya MCA digesa supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan serta menyemak semua fakta bagi mengelak berlakunya sikap prejudis yang menjurus kepada sifat perkauman dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Sehingga kini, belum ada sebarang teguran dibuat oleh PAS dan UMNO terhadap rakan sekutu mereka ini.

“Oleh itu, Pemuda Amanah Perak mengharapkan mereka supaya menasihatkan MCA sebagai rakan sekutu untuk membuat permohonan maaf,” kata Hasnul.