Srikandi Bersatu Perak Santuni Masyarakat dan Asnaf Sempena Ramadan

Reading Time: 3 minutes

IPOH | Program turun padang dan berjumpa rakyat marhain termasuk golongan asnaf sambil menghulurkan bantuan sempena Ramadan tidak dilihat sekadar aktiviti biasa malah perlu diteruskan sepanjang masa.

Justeru itu menurut Ketua Srikandi Bersatu Perak, Norhaslinda Zakaria pihaknya dengan kerjasama mantap pimpinan tertinggi Srikandi Pusat akan memastikan usaha murni ini dapat terus dijalankan bagi memastikan golongan yang memerlukan bantuan turut menikmati keberkatan di bulan yang mulia ini.

“Srikandi Bersatu Perak berpendapat kegiatan amal dan kebajikan kepada golongan yang memerlukan tidak hanya diadakan pada bulan Ramadan malah perlu diteruskan sepanjang masa.

“Ini pendekatan yang sentiasa diambil Srikandi Bersatu Perak sejak sebelum kerajaan baharu Pakatan Harapan mengambil alih kuasa mentadbir negara.

“Apapun program sebegini diharapkan dapat terus berjalan dengan mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak serta mengikut kemampuan kerajaan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Sentuhan Kasih Ramadhan di Ibu Pejabat Bersatu, Meru pada Rabu lalu.

Mengulas program Sentuhan Kasih Ramadhan, Norhaslinda berkata, program ini yang dianjurkan Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, YB Datuk Seri Rina Harun merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar akan mengagihkan sejumlah 1,200 kotak set makanan kepada 24 bahagian pimpinan Srikandi seluruh Perak dimana setiap bahagian akan menerima 50 set kotak makanan.

“Ketua-ketua Srikandi Bahagian pula akan turun padang mengagih-agihkan kotak-kotak makanan itu kepada ketua-ketua Srikandi cawangan.

“Program Sentuhan Kasih Ramadan ini dilancarkan serentak di seluruh Malaysia dimana Datuk Seri Rina Harun selaku Ketua Srikandi Malaysia menyempurkan pelepasan (flag-off) di Wilayah Persekutuan,’’ katanya.

Norhaslinda juga menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Rina Harun yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar kerana menganjurkan program murni ini untuk membantu golongan asnaf dan yang memerlukan bantuan sempena Ramadan.

Hadir sama Timbalan Ketua Srikandi Perak Puteri  Holijah Mohamed Rali, Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Batu Gajah, Noor Aishah Husain.

Sementara itu Puteri Holijah menganggap program sebegini perlu terus dijalankan bukan sekadar sambutan Ramadan sahaja malah sepanjang masa.

“Kami  melihat masyarakat khususnya rakyat di luar sana yang memerlukan bantuan perlu diberi perhatian dan kegiatan sebegini sentiasa kita jalankan,’’ katanya.

Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Batu Gajah, Noor Aishah Husain pula sependapat dengan Holijah bahawa kegiatan amal dan kebajikan ini perlu diteruskan agar masyarakat terutama golongan yang memerlukan bantuan termasuk ibu-ibu tunggal dan asnaf mendapat faedahnya.

“Program ini juga mendekatkan jalinan silatulrahim diantara ketua-ketua srikandi bahagian dengan ketua-ketua Srikandi di semua peringkat cawangan dalam misi bergerak bersama membantu golongan yang memerlukan bantuan ini,’’ katanya.

Noor Aishah juga menzahirkan penghargaan tinggi dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Srikandi Malaysia, Datuk Seri Rina Harun yang telah banyak membantu menganjurkan program ini untuk direalisasikan misi dan visinya.

“Tidak lupa juga saya menzahirkan ribuan terima kasih kepada Ketua Bahagian Bersatu Batu Gajah Mohadir Ahmad Ayub kerana memberikan kerjasama mantap dan semangat tinggi kepada Srikandi Bahagian untuk menjayakan program ini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Cawangan Bersatu Lahat, Sahul Hamid Rowther Mohamed Bawa yang turut serta memberikan kerjasama tidak berbelah bagi membantu Srikandi Bahagian Batu Gajah sehingga program ini dapat berjalan dengan lancar,’’ katanya.

Bagi Rohaya Mohd Yusof dan Norazilah Ariffin pula berpendapat, Srikandi Perak  sentiasa melihat program sebegini sebagai satu jihad dalam membantu golongan asnaf.

“Apa yang kita harapkan program sebegini sentiasa mendapat  sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk sektor korporat bagi membantu golongan yang  kurang bernasib baik,’’ katanya.