Mayat Ditemui Sejauh 80 KM Dari Lokasi Dilaporkan Hilang

Reading Time: < 1 minute

TELUK INTAN | Mayat yang ditemui di Sungai Perak berhampiran Teluk Intan hari ini adalah mayat mangsa yang mengalami kemalangan jalanraya dan terjatuh di Sungai Pinji Ipoh tiga hari lalu.

Lokasi mayat ditemui terletak sejauh kira-kira 80 kilometer dari sini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, pihaknya menerima aduan dari orang awam mengenai penemuan mayat di sungai itu pada 6.05 pagi hari ini.

Menurutnya, setiba di tempat kejadian iaitu di Jeti Kampung Bahagia, Teluk Intan, pihak Bomba dan Penyelamat mendapati terdapat satu mayat terapung di dalam Sungai Perak.

Pihak polis telah mengesahkan bahawa mayat itu adalah mangsa yang dilaporkan terjatuh di Sungai Pinji tiga hari lalu.

“Pihak polis telah mengesahkan mayat tersebut adalah mangsa yang jatuh akibat kemalangan jalanraya sebelum terjatuh ke dalam Sungai Pinji, Pasir Puteh pada 20 Mei lalu,” katanya di sini.

Mayat itu kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Isnin lalu, seorang wanita, V. Shalini, 24, dikhuatiri terjatuh ke dalam Sungai Pinji selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan jalanraya di atas jambatan berhampiran Sekolah Kebangsaan Pengkalan Pegoh, Ipoh.

Unit Pasukan Penyelam Dalam Air dan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM dipanggil untuk membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.