Pelaku Video ‘Baby Sayang’ Ditahan Polis

Reading Time: < 1 minute

Lumut | Remaja lelaki yang disyaki pelaku yang menembak monyet ‘baby sayang’ sehingga mati dalam video yang tular di laman sosial beberapa hari lalu telah ditahan polis bersama bapanya di rumah mereka di Sitiawan malam tadi.

Kedua-duanya direman hingga 26 Mei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Menurut Ketua Polis Perak, Razarudin Husain, motif perbuatan adalah kerana sengaja kerana remaja berkenaan mendakwa monyet tersebut telah merosakkan hasil tanaman di kebunnya.

“Remaja lelaki berkenaan mengaku mengambil pistol bapanya yang sedang tidur di dalam pondok di kebun pisang bapanya pada hari kejadian,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di Lumut, hari ini.

Sebelum ini, rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial sejak dua hari lalu.

Rakaman berkenaan menunjukkan tindakan seorang lelaki meminta haiwan yang dikurung di dalam sangkar itu untuk menyebut perkataan ‘baby sayang’ sambil mengacukan pistol ke arah monyet tersebut.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan kemudian melepaskan satu das tembakan di kepala yang mengenai kepala haiwan berkenaan selepas kiraan tiga.