PETALING JAYA (The Third Force) | Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa menafikan dia melanggar prosedur operasi piawai (SOP) ketika bersenam.
Semalam, Annuar memuat naik gambar dia berjalan bersama bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Nordin Razak dan Nik Aminaldin Nik Jaafar.
Susulan itu, para netizen dan pemimpin pembangkang menyelar bekas Setuausaha Agung Barisan Nasional itu atas dakwaan melanggar SOP kerana berjalan dalam kumpulan secara bertiga ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Masih banyak tak faham ke? Mask (pelitup muka) tidak digalak pakai semasa riadah. Doktor dah nasihat berkali kali.
“Ketiga tiga berjalan berasingan dari rumah mereka. Laluan berlainan, kebetulan bertemu,” katanya sepertimana yang dilaporkan Malaysiakini.
Kegiatan berjoging setakat ini hanya dibenarkan di sekitar kawasan rumah dengan berseorangan atau berdua sahaja.
Di bawah PKP, hanya dua jenis aktiviti luar yang dibenarkan – berjoging dan berbasikal. Mereka yang ingin berjoging boleh secara sendirian atau berpasangan di kawasan perumahan mereka.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata hanya anggota keluarga dari rumah yang sama boleh bersenam di luar rumah, namun, syarat ini tidak dinyatakan dalam garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Semalam, Annuar dalam ciapannya memuat naik gambar dia berjalan di luar bersama dua individu lain di lokasi yang tidak didedahkan.
“Pagi ini (bersama) mantan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Nordin Razak dan Nik Aminaldin Nik Jaafar,” ciapnya.