Anwar Minta Kerajaan Perak Jangan `Tergopoh-Gapah’ Laku Pembersihan GLC

Reading Time: < 1 minute

IPOH – Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim minta Kerajaan Perak jangan `tergopoh-gapah’ dalam membuat sebarang tindakan melakukan pembersihan struktur pentadbiran organisasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurut beliau, GLC bukan menjadi satu masalah buat kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan ia wajar diteruskan sekiranya menunjukkan prestasi yang baik.

“Jika Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri PH menganggap ia (GLC) sesuai diteruskan, saya memikirkan bahawa tiada pandangan negatif terhadap perkara itu.

“Apa yang baik daripada pentadbiran dahulu, kita boleh terima namun, di peringkat kerajaan persekutuan terdahulu, terbukti berlaku pembaziran dan pertindihan yang nyata. Pembayaran elaun juga keterlaluan kepada tokoh-tokoh politik,’’ katanya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan barisan Exco kerajaan negeri Perak di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh pada Selasa.

Beliau juga berharap Menteri Besar dan Exco tidak mengambil tindakan bermotifkan dendam atau iri hati yang merupakan satu perkara yang berlawanan dengan semangat tadbir urus kerajaan yang baik.

“Mereka perlu memastikan agar tidak berlaku pembaziran yang memberi manfaat kepada penyokong atau kroni.

“Selain itu, pengauditan juga perlu untuk menentukan sesetengah GLC itu masih relevan atau tidak. Ia merupakan tindakan berterusan dan biar Menteri Besar melakukan kerja mereka,” katanya.