(Ulasan): Anwar Patut Dihalang Dari Jadi PM

Reading Time: 3 minutes

Pilihanraya Kecil Port Dickson akan berlangsung pada 13 Oktober ini. Anwar Ibrahim dijangka akan menang mudah menewaskan 6 lagi lawannya termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad dan juga bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Ramai tidak menjangka Tun Mahathir akan turun berkempen untuk Datuk Seri Anwar, namun Tun telah membuktikan prasangka orang ramai itu salah sama sekali. Bukan saja Tun Mahathir, malah Tun Daim Zainuddin dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin juga turut turun berkempen untuk Anwar Ibrahim. Ini sekaligus menamatkan spekulasi kononnya Tun Daim dan Tun M mempunyai agenda tertentu untuk menghalang dari memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ke-8.

Musuh Pakatan Harapan seperti UMNO menerima tamparan tindakan tindakan Tun M dan Tun Daim. Apa yang mereka harapkan agar Anwar dilagakan dengan Tun M tidak menjadi. Zahid Hamidi pasti orang yang paling kecewa dalam hal ini.

6 calon yang bertanding melawan Anwar pasti tidak akan memberi laluan mudah kepadanya untuk menang.

Tan Sri Isa Samad tidak akan berjaya mendapat undi yang banyak dari penduduk Port Dickson. Malah ahli UMNO juga tidak akan memberi undi kepadanya. Isa mempunyai prestasi yang buruk sebagai ahli politik. Sokongan kuat hanya datang dari orang-orang di sekelilingnya yang biasa mendapat dedak darinya.

PAS masih menaruh harapan sekiranya mahkamah membuat keputusan Datuk Seri Anwar tidak layak menjadi calon, pemenangnya ialah calon yang mendapat undi kedua terbanyak selepas Datuk Seri Anwar. PAS begitu yakin sekali mereka akan mendapat undi kedua terbanyak memandangkan UMNO tidak meletak wakil mereka dalam pilihanraya kali ini.

3 calon bebas yang lain yang terdiri dari mereka yang kurang dikenali iaitu Stevie Chan, Lau Seck Yan dan Kang Chee Yuen dijangka hilang wang pertaruhan.

Tinggal seorang lagi calon iaitu bekas pembantu peribadi Anwar sendiri yang membawa tuduhan liwat ke mahkamah terhadap bekas bosnya.

Mungkin ramai yang menjangka Saiful akan kalah teruk dalam PRK ini, lebih teruk dari undi yang diperolehi oleh calon Bebas yang lain. Tetapi Saiful dalam beberapa wawancara dengan media dan kempen bertemu orang ramai kelihatan begitu yakin sekali.

Walaupun tidak pernah mendakwa akan menang, Saiful begitu tenang sekali bila bertemu dengan orang ramai. Dalam wawancara dengan media tempatan, Saiful bercakap tentang fakta. Beliau menyentuh tentang bagaimana pembaziran yang berlaku untuk mengadakan PRK yang tidak perlu, bertentangan dengan ikrar serta ideologi Pakatan Harapan sendiri yang melaungkan isu berjimat cermat.

“Kita tidak boleh benarkan orang-orang sebegini memanipulasi sistem demokrasi dan mempergunakan rakyat demi kepentingan peribadi.

“Saya ada isu peribadi dengan Anwar. Bagi saya, dia tidak sesuai untuk menjadi Perdana Menteri,” dakwa Saiful.

Saiful tidak mengungkit isu silam dalam kempennya di PD kecuali dalam salah satu siri kempen apabila beliau ditanya oleh salah seorang penduduk. Pada awalnya beliau tidak mahu menyentuh tentang isu liwat 10 tahun lalu namun katanya beliau terpaksa menjawab apabila seseorang bertanya tentang perkara itu dalam sesi soal jawab.

Jika dilihat, Saiful begitu bersungguh-sungguh tidak mahu Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri. Saiful mendakwa tidak ada sesiapa yang menjadi penaja di belakang beliau. Keputusannya untuk untuk bertanding dalam PRK kali ini adalah atas kemahuannya sendiri.

Beliau mendakwa telah menemui 7,000 pengundi dan 90 peratus dari mereka memberi respon yang baik.

Saiful dan Anwar tentu ada cerita atau rahsia yang orang lain tidak tahu. Hanya mereka berdua dan Allah sahaja yang mengetahui.

Seorang lagi yang tidak bertanding menjadi calon tapi berkempen supaya pengundi tidak mengundi Anwar dan Isa Samad ialah bekas orang paling kanan kepada Anwar, Mohamad Ezam.

Ezam yang hilang kepercayaan terhadap bekas ketuanya itu selepas mendengar kisah yang diceritakan oleh Sukma Darmawan Sasmita Atmadja dari dalam penjara, melalui pertubuhan Hisbah dalam satu kenyataan terbaru semalam menggesa pengundi untuk tidak mengundi dua calon iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Isa Samad.

Dalam lontaran di Facebook, Ezam menuntut Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail membuat penjelasan tentang penggunaan aset-aset milik ahli perniagaan oleh suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, sekiranya benar, ianya merupakan perlanggaran terhadap prinsip moral yang membenarkan ahli keluarga pemimpin kerajaan membiarkan diri mereka terdedah kepada konflik kepentingan di antara kerajaan dan kepentingan perniagaan syarikat tertentu.

Lebih memburukkan keadaan, laporan yang didakwa diterima oleh Ezam menyebut aset-aset yang digunakan adalah milik ahli perniagaan yang mempunyai kepentingan dalam aktiviti pembalakan dan perjudian, dan salah seorang darinya pernah didenda di Sarawak tahun lalu atas kesalahan aktiviti perjudian.

Jika dilihat dari tindakan terburu-buru Datuk Seri Anwar yang bertanding di PRK PD, selepas wakil Parlimen dari PKR melepaskan jawatan demi memberi laluan kepada beliau untuk kembali ke Parlimen dalam masa terdekat, dengan 2 lagi kerusi Parlimen yang disandang oleh ahli keluarganya sendiri iaitu anaknya Nurul Izzah di Permatang Pauh dan isterinya di Pandan tidak dikosongkan, sebaliknya kerusi PD pula dikorbankan.

Penggunaan aset-aset milik taikun perniagaan, jika ianya benar, sudah mula menunjukkan suatu isyarat bahawa jika Anwar jadi PM, bakal berlaku lebih banyak perkara yang tidak menguntungkan rakyat sebaliknya memberi kelebihan kepada ahli² perniagaan dan golongan kapitalis untuk terus berkuasa dan menguasai serta mempengaruhi pentadbiran kerajaan.

AA


Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya mewakili pendapat atau pandangan rasmi Independent.my