ARMADA Beri Amaran Kepada Farhash Jangan Bertindak Sendiri

Reading Time: < 1 minute

Tindakan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador memberi tekanan terhadap Menteri Besar denan membuat kenyataan di media sosial sebelum ini dibidas oleh beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri termasuk dari parti DAP.

Terbaru, Exco Armada Nasional (Bersatu), Muzammil Ismail mengeluarkan kenyataan memberi amaran kepada Pengerusi PKR itu supaya jangan cuba meracuni konflik dalaman sesama anggota PH.

Muzammil mengingatkan Farhash supaya jangan bertindak terburu-buru dengan meletakkan semua perkara di media sosial tanpa berbncang terlebih dahulu dengan pimpinan PH.

“Ini satu tindakan yang boleh meranapkan persepakatan dalam PH Perak,” katanya.

Beliau mempersoalkan adakah tindakan Farhash membuat dakwaan jahat menunjukkan dia ada agenda tertentu untuk menjatuhkan kerajaan hari ini.

“Jangan tembak kaki sendiri, jangan bentes (sepak-menyepak) kaki sendiri, jangan sepak kaki kawan bagi memastikan kejayaan diri sendiri.

“Jika ada masalah selesaikanlah secara profesional dan matang dalam politik,” menurut Muzammil.

Beliau dalam kenyataan itu menuntut agar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada anak buahnya itu supaya tidak bertindak membelakangi parti.

“Sekarang adalah masa mengatur dan menyusun parti bukan kepentingan peribadi,” kata Muzammil lagi.