IPOH: Atlet Perak, Mior Muhammad Amerul Mohd Sahak berjaya menggondol pingat emas dalam acara jalan kaki 20,000 meter lelaki, Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, di Stadium Perak, Ipoh pada Jumaat.
Berpeluang beraksi di halaman sendiri digunakan sepenuhnya Mior setelah berjaya menamatkan acara dengan catatan masa 1:45:58 saat.
Atlet Perlis, Irfan Hanania Abdul Shahir berjaya meraih pingat perak menerusi catatan masa 1:53:02 saat manakala wakil Melaka, Muhammad Fakhrul Razi Jailani membawa pulang pingat gangsa setelah menamatkan acara dengan catatan masa 1:54:29 saat.
Atlet Negeri Sembilan, Muhammad Faizal Sukor gagal menempatkan diri di tangga tiga teratas apabila hanya berjaya menamatkan acara dalam masa 1:57:42 saat.
Sementara itu Terengganu merangkul pingat emas dan perak selepas atlet berbasikal wanita negeri itu, Nur Aisyah Mohamad Zubir dan Ezzatie Fifiyana Shazwanie Shaiful Hisham berjaya menempatkan diri di tempat pertama dan kedua dalam cara 10 Kilometer (KM) scratch wanita, Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 di Velodrom Rakyat di sini.
Ia merupakan pingat emas Aisyah yang keempat, selepas berjaya menyapu bersih tiga pingat emas acara berbasikal lebuh raya tempoh hari.
Acara yang sepatutnya diteruskan semalam terpaksa ditangguhkan berikutan hujan lebat. Ia kemudiannya bersambung pagi tadi dan dalam persaingan penentuan pingat gangsa, atlet Selangor, Nurqadrina Emylia Norzali nyata tidak mudah mengalah apabila berjaya memintas atlet Pahang, Yong Ann Yii dengan catatan masa 41.30 saat.
Pelumba basikal tuan rumah, Nyo Chi Hui pula terpaksa akur dengan kekuatan kayuhan atlet Pahang, Nurul Najwa Mohamad Fauzi yang berjaya menduduki tangga keenam dengan catatan masa 41.27 saat.
Di lokasi acara yang sama, pelumba basikal Terengganu, Wan Abdul Rahman Hamdan turut menyumbangkan emas buat negerinya selepas berjaya memintas atlet Johor, Eiman Firdaus Mohd Zamri dalam acara 4KM kejar mengejar lelaki perseorangan. Abdul Rahman tiba di garisan penamat dengan catatan masa 4.44 saat.