Awasi Anak-anak, Pastikan Tidak Menjadi Penagih Baru di Felda

Reading Time: < 1 minute

GERIK, 7 Sept — Kerajaan negeri meminta warga peneroka Felda supaya mengawasi anak-anak mereka, bagi memastikan tiada dalam kalangan mereka menjadi penagih baharu dadah di kawasan berkenaan, kata Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Ini kerana menurutnya, berdasarkan stastistik lebih 90 peratus penagih telahpun menjalani rawatan dan langkah mengawasi itu perlu bagi mengelakkan timbulnya penagih baharu dalam kalangan anak-anak peneroka Felda.

“Kerajaan negeri sentiasa  berusaha mengingatkan keluarga, supaya menjadikan tanggungjawab mereka, memastikan di kawasan (Felda) ini, tidak ada penagih baharu,” katanya di majlis perasmian Karnival Mahabbah dan Rahmah Lenggong, di Dewan Semai Bakti, Felda Lawin Selatan, dekat sini hari ini.

Sementara itu, bercakap mengenai karnival itu, Hasnul Zulkarnain yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) negeri berkata ia adalah salah satu pendekatan berkonsepkan karnival kekeluargaan, dalam usaha memberi kesedaran kepada masyakat tentang penyalahgunaan dadah serta meningkatkan kualiti kehidupan.

Katanya, pengisian dengan pelbagai program juga mampu menarik minat orang ramai khususnya para belia, melibatkan diri dengan aktiviti sihat dan seterusnya menghindari daripada menghabiskan masa yang tidak berfaedah serta terpengaruh dengan najis dadah.

Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain berkata setiap individu dalam masyarakat juga perlu bersifat ramah, mesra, mudah bergaul serta beradab sopan dalam menyantuni mereka yang pernah terlibat dengan dadah.

“Selain itu juga, nasihat saya agar institusi masjid memainkan peranan penting, sebagai pusat bimbingan, pendidikan dan kemasyarakatan, bagi mewujudkan keamanan dan keadilan setempat.

— BERNAMA