Azmin nafi pembabitan dalam video lucah

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkannya dalam satu video lucah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu yakin siri fitnah tersebut adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadiannya serta menjatuh beliau dan memusnahkan karier politiknya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini yang bersifat tuduhan jahat dan kejam,” katanya dalam kenyataan.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya ‘gutter politics’. Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, di mana kita sedang berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni,” katanya.

Azmin berkata beliau telah mengarahkan para peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

Menteri itu akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja jahat tersebut.

Beliau yakin kerja jijik tersebut telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.

“Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

— BERNAMA