Bacaan IPU Bukan Jarak Penglihatan

Reading Time: < 1 minute

SERDANG, 23 Sept — Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah purata bacaan untuk 24 jam dan tidak ada hubung kait dengan jarak penglihatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata bacaan IPU yang disalurkan JAS menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) adalah bacaan IPU rasmi negara dan data-data itu telah ditentusahkan sebelum dipamerkan kepada orang awam.

“Orang ramai diminta rujuk IPU yang dikeluarkan JAS sahaja bagi mengelak sebarang kekeliruan,” kata beliau yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada pemberita di sini hari ini berhubung ketepatan bacaan IPU JAS yang dipersoalkan apabila jarak penglihatan berkurangan pada Ahad.

Beliau yang sebelum itu merasmikan kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini berkata penggunaan PM2.5 dalam pengiraan IPU pula adalah sejajar dengan piawaian antarabangsa dan diguna pakai di kebanyakan negara ke arah kelestarian alam sekitar.

Menurut Dr Wan Azizah, berdasarkan laporan status keadaan jerebu negara sehingga 8 pagi hari ini, 40 lokasi mencatatkan IPU tahap tidak sihat, dan hanya Johan Setia di Klang menunjukkan bacaan IPU sangat tidak sihat (212).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Beliau berkata Sri Aman di Sarawak, yang pada 20 Sept merekodkan IPU berbahaya dan kini turun ke tahap tidak sihat, adalah hasil operasi pembenihan awan, water bombing dan operasi pemadaman di darat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan.

Pada 8 pagi hari ini, Sri Aman mencatatkan bacaan IPU 134.

Menurutnya, kebakaran tanah gambut masih lagi berlaku dengan kawasan kebakaran bertompok di Sri Aman dianggarkan seluas empat hektar.

— BERNAMA