KUALA KANGSAR | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Kangsar, Perak meneruskan siri jelajah prihatin nasib rakyat bagi meringankan beban masyarakat. Terbaru pada Rabu lalu, Srikandi Kuala Kangsar bersama Ketua Bahagian PPBM Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang juga merupakan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak telah menganjurkan Program Mahabbah Kasih kali yang ke-5.
Menurut Shahnoor Zahurin Mohd Haslan Myudin, program ini merupakan usaha berterusan PPBM Bahagian Kuala Kangsar membantu meringankan beban penduduk di sekitar Kampung Bendang Kering, Kampung Sayong Lembah dan Taman Kelisa Sayong.
“Kami bersyukur kerana Siri Mahabbah ke-5 ini berjalan lancar. Sebanyak tujuh orang penduduk yang mengalami masalah kesihatan menerima sumbangan tilam kekabu, bantal dan kotak makanan”, katanya.
Selain itu, Datuk Iskandar juga mengadakan perjumpaan dengan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Sayong Resort, Kuala Kangsar. Beliau berpendapat usaha turun padang dan perjumpaan secara berkala adalah penting agar dapat mendengar sendiri masalah yang dihadapi dan cadangan-cadangan daripada mereka.
“Melalui perjumpaan dengan persatuan-persatuan peniaga seperti Perdasama, persatuan kontraktor, persatuan kebudayaan, saya dapat mendengar keluhan dan hasrat mereka, serta situasi semasa. Insya Allah, saya akan berusaha membantu mereka dan membawa hasrat mereka ke peringkat kepemimpinan negeri”, ujarnya.
Berkaitan tapak Masjid Sayong Lembah yang terbengkalai dan diviralkan sebelum ini beliau berjanji akan berusaha membantu menyelesaikannya secepat mungkin.
“Saya akan berusaha membantu menyelesaikan masalah tapak masjid ini selewat-lewatnya pada hujung tahun ini”, katanya ketika melawat tapak masjid tersebut bersama-sama kontraktor dan imamnya.