Bagan Datuk Tidak Dipinggirkan- MB

Reading Time: < 1 minute

SIDANG DUN | Kerajaan Perak tidak pinggir Daerah  Bagan Datuk meskipun beberapa projek melalui Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di Bagan Datuk telah dibatalkan.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melalui RMK-11, sebanyak 12 projek pembangunan di daerah itu dengan peruntukan RM1.058 bilion telah diluluskan.

Katanya, antara projek yang telah siap dibangunkan ialah landskap Dataran Bagan Datuk manakala Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk, Kompleks Sukan Bagan Datuk, Jambatan Bagan Datuk dan Politeknik Bagan Datuk giat dibangunkan.

Beliau berkata, menerusi inisiatif sama, projek-projek seperti Rancangan Tebatan Banjir Bagan Datuk dan Klinik Kesihatan Jenis 3 berserta kuarters di Hutan Melintang bakal dibangunkan.

Ahmad Faizal berkata, walaupun Bagan Datuk masih belum mempunyai pejabat pentadbiran berpusat namun Bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk telah siap dibangunkan pada 14 Februari tahun lalu dan beroperasi pada 5 Mac 2018.

“Sebagai sebuah daerah yang baharu, pembangunan Bagan Datuk sentiasa mendapat perhatian khusus daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk melengkapkan kemudahan dan peranan Bagan Datuk sebagai sebuah daerah penuh.

“Rancangan Tempatan Daerah Bagan Datuk 2035 juga sedang dibangunkan sebagai suatu pelan perancangan bandar dan desa induk dan menyeluruh bagi Daerah Bagan Datuk sehingga tahun 2035,’’ katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) pada siding DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Kepada soalan tambahan adun itu, Ahmad Faizal berkata projek menaiktaraf Padang SMK Seri Muara, dengan perbelanjaan RM222,000 dan Projek Pembinaan Baru Tandas Di SK Tanjong Bayan dengan peruntukan RM 653,009 telah siap sepenuhnya.

Menteri Besar juga memberitahu, dengan pelaksanaan projek Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) yang bakal disiapkan kelak bakal memberi limpahan ekonomi di daerah berkenaan.

“Kita berpandangan daerah Bagan Datuk adalah penting untuk dibangunkan dan saya yakin dengan pembangunan projek WCE, ia akan banyak membantu mempercepatkan pembangunan di daerah berkenaan,’’ Ahmad Faizal.