Pengusaha Kantin Sekolah Gred C Boleh Disenarai Hitam

Reading Time: < 1 minute

SIDANG DUN | Pengusaha kantin sekolah yang mendapat gred C dalam Penggredan Kantin Sekolah yang dijalankan Jabatan Kesihatan Perak boleh disenarai hitam selama setahun.

Menurut Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Dr Abdul Aziz Bari, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan surat siaran bahawa pengusaha kantin yang mendapat gred itu juga tidak layak mendapat lanjutan kontrak selama setahun.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak memandang serius kejadian kes keracunan makanan berlaku di sekolah-sekolah di negeri ini dan mengambil beberapa tindakan untuk menanganinya.

Menurut beliau, antara tindakan yang telah diambil ialah mengadakan Jawatankuasa Task Force Menangani Kes Keracunan Makanan yang dianggotai secara bersepadu oleh para pegawai JPN Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta para pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

“Mesyuarat pertama jawatankuasa ini telah dilaksanakan pada 13 Mei 2019.

“Pihak JPN Perak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Perak juga sentiasa berganding bahu bagi memastikan semua pengusaha melaksanakan Pemeriksaan Harian Kendiri Kantin dan Dapur Asrama,” katanya menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Abdul Aziz juga memberitahu sidang, bagi tahun 2019, terdapat lapan kes keracunan makanan berlaku di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan di negeri ini iaitu lima kes di dapur asrama dan tiga kes berlaku di kantin sekolah.

Menurut beliau, pada 3 Mei lalu, JPN Perak telah mengeluarkan surat peringatan kepada PPD dan semua sekolah yang terlibat agar mengambil langkah-langkah pencegahan,  pendidikan serta sentiasa mengutamakan amalan kebersihan dalam kalangan murid-murid serta para pengendali makanan sama ada di kantin sekolah mahupun dapur asrama.