Perak Komited Bangunkan Pengkalan Hulu

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kerajaan Perak  komited bangunkan kawasan Pengkalan Hulu yang bakal menjadi bandar transit antara Hulu Perak dan Wilayah Yala.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing berkata, kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dalam merancangkan pembangunan infrastruktur di pintu masuk sempadan Thailand secara khusus.

“Perkara ini bukan sahaja melibatkan perancangan kerajaan negeri tetapi ianya merupakan salah satu pintu masuk Thailand dan Malaysia di mana kawasan Hulu Perak akan menerima limpahan ekonomi apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Betong Thailand bakal beroperasi pada jangkaan pertengahan tahun 2020.

“Pelan pembangunan bagi menaiktarafkan kawasan sempadan dari segi kemudahan infrastruktur, pencahayaan, lanskap, ruang perniangaan, pusat informasi, papan tanda, dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Aznel Ibrahim (BN-Pengkalan Hulu) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Kabinet Thailand telah meluluskan pembiayaan sebanyak 1.9 bilion baht (RM1=8.32 baht) untuk pembinaan lapangan terbang Betong di Yala, wilayah selatan bersempadan dengan Malaysia.

Lapangan Terbang Betong akan mempunyai landasan sepanjang 1.8 kilometer, apron dan terminal lapangan terbang dan 20,587 penumpang dijangka melaluinya setiap tahun selepas mula beroperasi pada 2017.