Paul Yong Teruskan Tugas Sehingga Kes Dipindah Ke Mahkamah Tinggi

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

IPOH | Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh , Paul Yong Choo Kiong akan meneruskan tugas Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal-Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak sehingga kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Ipoh.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan pada Selasa menyatakan bahawa Paul Yong telah memfailkan permohonan pada 13 November lalu untuk kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Ipoh.

Menurut kenyataan itu, sementara menunggu permohonan tersebut dipindahkan, Paul Yong memaklumkan hasratnya untuk kembali menjalankan tugas Exco seperti biasa atas prinsip seseorang tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh mahkamah.

“Sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan berhubung permohonannya, Paul Yong mempunyai tanggungjawab untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Negeri yang sedang berlangsung dan juga menjawab soalan-soalan berkaitan dengan portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal-Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru yang dipegang oleh beliau.

“Oleh itu, YB (Yang Berhormat) Paul Yong akan meneruskan tugasannya sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Tronoh dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” menurut kenyataan media yang diedarkan kepada media.

Paul Yong sebelum ini bercuti dari menjalankan tugasan sebagai Exco kerajaan negeri selepas dinasihatkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pada 15 November lalu, Paul Yong mengumumkan kembali bertugas sebagai Exco kerajaan negeri selepas berbincang dengan Ahmad Faizal.