Warga Ipoh Bakal Dapat Datuk Bandar Yang Baharu Julai Ini

Reading Time: < 1 minute

Ipoh bakal mendapat Datuk Bandar yang baru selepas semua urusan pelantikan yang sedang diproses oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dijangka selesai Julai ini.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong.

“Proses berjalan lancar dan sekarang di peringkat JPA … tiada sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selesai majlis penyampaian bantuan Kotak Harapan di Dewan MPKK Gunung Hijau, Pusing, dekat Batu Gajah pada Ahad.

Perkhidmatan Datuk Bandar sebelum ini dipendekkan sejak Februari lalu disebabkan faktor kesihatan.

Pada Jumaat, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditanya wartawan selepas sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan ada menyebut bahawa pengumuman pelantikan Datuk Bandar yang baru akan dibuat tidak lama lagi.

Menurutnya lagi, calon Datuk Bandar yang baru adalah seorang anak tempatan dan telahpun mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muibzudin Shah.