Bekalan Alat Ganti LCS Boleh Dibeli Di Mydin – Rafizi

Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mendakwa Alizes Marine — syarikat milik Zainab Mohd Salleh, yang didakwa isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Fungsi Khas) Datuk Abdul Latiff Ahmad — membuat pembelian yang tidak memenuhi keperluan alat ganti pertahanan. .

“Kontrak membekalkan alat ganti LCS yang diberikan kepada Alizes Marine melibatkan bayaran sekitar RM210 juta antara 2011 hingga 2015 sahaja.

“Sebab itu terdapat beberapa persoalan penting yang perlu dijawab berhubung stok alat ganti, kerana laporan PAC mendedahkan projek itu telah membeli sehingga RM1.7 bilion alat ganti sedangkan kapal belum siap,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kata beliau, menurut laporan audit forensik Littoral Combat Ship (LCS), pesanan pembelian yang dikeluarkan syarikat itu termasuk barangan seperti air mineral, pek putik kapas, kain pembersih dan kipas, yang tidak dikategorikan sebagai alat ganti tahap pertahanan untuk pembaikan dan kerja penyelenggaraan.

Bekas ahli parlimen Pandan itu kemudiannya membangkitkan persoalan berapa banyak daripada RM1.7 bilion barangan yang dibeli itu adalah alat ganti sebenar yang diperlukan untuk pembaikan dan penyelenggaraan kapal, pada masa yang sama bertanyakan berapa banyak barangan ini boleh dibeli secara biasa di pasar raya.

“Apabila Umno/BN mendakwa projek itu mencapai kemajuan 50 peratus sehingga 2018 (sejak pembinaan bermula), berapa peratuskah kemajuan itu berkaitan pembelian barangan yang tiada kaitan dengan penyelenggaraan kapal?

“Kita tahu kemajuan projek itu mengambil kira semua aktiviti termasuk tempahan alat ganti kapal,” katanya.

Penafian Latiff bahawa Zainab adalah isterinya dan menuding ke arah individu lain yang juga bernama Zainab, iaitu CFO Dialog Berhad, adalah bertujuan mengelirukan orang ramai

“Sejak saya mendedahkan seseorang bernama Zainab sebagai individu bernama isteri Latiff Ahmad dalam Laporan Forensik Projek LCS, sehingga kini Dr Latiff tidak menafikan kenyataan itu.

“Satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan adalah sebelum saya mendedahkan identiti sebenar Zainab Mohd Salleh. Penafian Dr Latiff (bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya) jelas merujuk kepada individu lain (iaitu CFO Dialog Berhad) yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.

“Sekiranya tiada kenyataan balas yang menafikan individu yang dinamakan itu adalah isterinya, orang ramai boleh membuat kesimpulan bahawa pendedahan saya adalah benar. Lagipun, ia dinyatakan secara bertulis dalam Laporan Forensik LCS,” kata Rafizi.

Beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memecat Latiff daripada tugas menterinya, dan meminta pemimpin Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan orang lain daripada partinya menggantikannya.

“Ini adalah ujian penting untuk menilai sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu benar-benar ikhlas menentang rasuah, seperti yang beliau nyatakan ketika mengambil kredit untuk hukuman kes SRC baru-baru ini,” katanya.