Tolak Parti ‘Penyangak’ Elak Dikecewa Selamanya – Tun M

Reading Time: 2 minutes

Pejuang ditubuhkan sebagai satu usaha untuk menyatu-padukan orang-orang Melayu yang ‘bersih’, menurut Tun Mahathir dalam satu ucapan di karnival Jelajah Sayang Bangsa di Ipoh pada Sabtu malam.

Menjelas lanjut, Pejuang ditubuh bukan hendak bermusuh dengan bangsa lain terutama Cina, tetapi menentang orang Melayu yang menyeleweng, yang sudah jadi ‘penyangak’, menarik seramai mungkin orang Melayu menyertai gerakan yang dipelopori beliau yang dinamakan Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertujuan untuk memulihkan negara terutama nasib orang Melayu.

“Kalau bukan parti Melayu, agak sukar untuk melawan parti Melayu yang lain. Kerana itu parti Pejuang adalah parti Melayu,” katanya.

Tun memberi keyakinan bahawa Pejuang tidak gilakan jawatan malah tidak ada mengisytihar calon Perdana Menteri dari parti itu.

Menzahirkan kekecewaannya, orang Melayu di negara ini kebanyakannya hidup dalam keadaan tidak selesa dan miskin. Apabila demikian, orang Melayu akan menjual harta yang mereka ada seperti tanah yang mereka miliki.

“Lama-kelamaan kita akan jadi seperti Singapura di mana orang Melayu tidak lagi memiliki barang satu kaki persegi tanahpun dan terpaksa melepaskan sebahagian dari Tanah Melayu kepada satu negara baru (iaitu Singapura).

“Kita nak selamatkan negara kita daripada menerima nasib yang sama seperti Singapura,” kata Tun.

Tun berharap orang Melayu juga dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dan memiliki kewangan dan kekayaan yang sama dengan kaum-kaum lain di negara ini.

Beliau mempersoalkan apa yang dilakukan oleh kerajaan yang ada hari ini selain mengadakan himpunan untuk merebut semula kuasa supaya mereka boleh mencuri. Beliau dipercayai merujuk kepada Majlis Taklimat Khas Presiden UMNO di WTC pada hari ini.

Beliau sedar bahawa ramai rakyat yang sudah bosan dengan orang politik tetapi mengingatkan jika tidak mengundi pihak yang lebih baik dan menolak parti ‘penyangak’, kebosanan dan kekecewaan itu akan berterusan selamanya.

Turut bersama pada majlis pada malam ini ialah Presiden Pejuang, Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir serta Timbalan Presiden Datuk Wira Marzuki Yahya.