PH Dedah Skandal Kapal APMM

Reading Time: 2 minutes

IPOH – Selepas skandal projek LCS untuk tentera laut menggemparkan negara bulan lalu, kini satu lagi skandal projek seakan-akan serupa pula muncul membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengerusi Pakatan Harapan, Dato Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa hari ini mendedahkan projek Offshore Patrol Vessel (OPV) untuk membekalkan APMM dengan 3 buah kapal peronda perairan negara bernilai RM738.9 juta telah gagal diserahkan sehingga akhir tahun 2020 mengikut kontrak asal.

Lebih mengecewakan, syarikat yang mendapat kontrak tersebut secara runding terus, Tabung Haji Heavy Engineering (THHE) tidak mempunyai kepakaran dalam pembinaan kapal. THHE mendapat surat anugerah kontrak pada 2017 daripada Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak.

“Lebih memburukkan keadaan, dalam surat itu menyatakan THHE kena JV (joint venture) dengan satu syarikat lain – itu sangat mengelirukan,” soal Mujahid.

Katanya, masalah bermula apabila THHE yang menjadi kontraktor utama diberi pemilikan 49% menjadikan syarikat Destini Sdn. Bhd. sebagai rakan kongsi yang diberikan pemilikan sebanyak 51%.

Jelas beliau lagi, ia tidak berakhir di situ malah syarikat Destini juga dikaitkan dengan beberapa kontrak lain diperolehi dari kerajaan Barisan Nasional.

Pada 2021, Destini telah meninggalkan projek membekalkan 3 buah kapal maritim untuk APMM dan mengikut laporan The Edge, THHE bakal dinyahsenarai dari Bursa Saham Kuala Lumpur kerana THHE telahpun disenarai di bawah syarikat PN17 (Practice Note 17) sejak 2017 – iaitu syarikat yang mempunyai masalah kewangan atau hutang.

Beliau menuntut penjelasan dari Destini kerana dari nilai keseluruhan projek, sebanyak RM500j telah dibelanjakan.

“Bila lima ratus juta telah dibelanjakan tanpa satu kapal pun sampai, ini sangat membimbangkan dan ada kelayakan untuk dipertikai apa yang telah berlaku.

“Dari awal lagi ia bermasalah, THHE tiada kepakaran, anugerah kontrak tapi dengan syarat JV dengan syarikat lain,” soal Mujahid dalam sidang media di sini hari ini.

Destini telah gagal menghantar kapal pada 2020 dan pada 2021 mereka tinggalkan projek itu setelah sebahagian bayaran dibuat.

Beliau menuntut satu siasatan oleh PAC disegerakan, untuk menyiasat kelewatan perbekalan OPV ini, kerana khuatir kes ini akan menjadi lebih kurang sama seperti skandal kapal LCS untuk Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).