Bersatu Nafi Terima Titah Mengadap Sultan Perak

Reading Time: < 1 minute

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak dalam satu kenyataan terbaru mengatakan bahawa pihaknya tidak menerima titah secara rasmi untuk mengadap Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah seperti yang dilaporkan oleh media.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa BERSATU juga sehingga kini masih belum memohon untuk mengadap Sultan Perak berhubung isu pelantikan Menteri Besar Perak yang baharu.

Pagi ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengadap Sultan Perak dan menyembah maklum nama calon Menteri Besar Perak yang baharu.

Media tempatan melaporkan bahawa Sultan Nazrin menitahkan wakil rakyat BERSATU dan PAS datang mengadap baginda Sultan bagi membuktikan sokongan terhadap calon Menteri Besar yang baru dari UMNO.

Media itu memetik kenyataan oleh Ahli Dewan Negara Perak, Anuar Zaini di hadapan pintu pagar istana bahawa Sultan Perak menitahkan wakil rakyat tersebut datang mengadap pada bila-bila masa pada hari ini.