Pemuda AMANAH Gesa Ketepikan Kepentingan Parti

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Pemuda AMANAH Perak melontarkan kebimbangan apabila parti-parti politik lebih mengutamakan survival politik berbanding kepentingan rakyat.

Sayap parti itu berpendapat sejak Menteri Besar Perak digulingkan melalui undi percaya, keadaan politik di negeri ini menjadi tidak menentu.

“Kami ingin mengingatkan bahawa, kebanyakan negeri-negeri dan di persekutuan, pembentangan dan perbahasan Belanjawan untuk 2021 telah dan sedang berjalan tetapi di negeri Perak, kita terpaksa menunggu kepimpinan baharu dibentuk sebelum Belanjawan ini dapat dibentangkan.

“Dengan baki tinggal beberapa hari lagi sebelum kita masuk ke Tahun 2021, rakyat negeri Perak masih belum tahu apa perancangan untuk negeri dan program kepada mereka lebih-lebih lagi dalam tempoh sukar menghadapi kesan pandemil Covid-19 ini, “memetik kenyataan yang dikeluarkan.

Pemuda AMANAH Perak turut menyeru semua pihak terutama parti-parti politik agar segera selesaikan kemelut dan membentuk kerajaan supaya khidmat kepada rakyat diberi keutamaan.

Pihaknya juga berpendapat politik kepartian harus diketepikan untuk membuat pilihan dan mencari formula terbaik dalam membentuk kerajaan baru di negeri ini.

“Sekiranya penjajaran baharu merupakan pilihan terbaik, semua parti politik harus berlapang dada dan mengambil tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat negeri Perak, “menurut kenyataan yang dihantar oleh Ketua Pemuda, Khaairol Najib Hashim.

Pada Sabtu lepas, wakil dari UMNO, DAP, PKR dan AMANAH mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta bagi menyembah maklum tentang situasi politik di Perak. Pada keseokannya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula mengadap Sultan Perak.

Sultan menasihati pemimpin-pemimpin parti agar mencari formula terbaik untuk membentuk kerajaan baharu di negeri Perak.