IPOH (BERNAMA) | Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP bagi membentuk penjajaran politik baharu di Perak.
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penjajaran baharu politik itu merupakan pilihan yang akan diambil oleh parti sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disertai Bersatu, PAS dan BN sebelum ini gagal dikekalkan.
“UMNO dan BN telah ambil pendekatan bahawa seboleh mungkin kerajaan yang ada di bawah kepimpinan (bekas) Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang lalu dapat dikekalkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, di sini hari ini.
Ahmad Zahid mengakui usaha mengekalkan kerajaan terdahulu mungkin sukar berdasarkan kepada kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hasan dan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini.
Takiyuddin pada 4 Dis menyatakan bahawa PAS tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan Perak yang baharu susulan keputusan penolakan usul undi percaya oleh ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap Menteri Besar, pada tarikh sama.
Pada hari sama, Hamzah menerusi satu kenyataan turut menyatakan kekesalan Bersatu berhubung situasi yang berlaku dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat yang menyaksikan Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti (ADUN).
Menerusi usul yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) itu, Ahmad Faizal hanya mendapat 10 undi menyokong berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata UMNO dan BN akan mengambil pendekatan yang memastikan pembentukan satu kerajaan baharu yang lebih kukuh
Ditanya mengenai calon menteri besar daripada UMNO, Ahmad Zahid berkata pihaknya akan mempersembahkan nama yang diyakini mendapat sokongan majoriti ADUN bagi mendapat perkenan Sultan Nazrin dalam masa terdekat.
Adalah penting kerajaan baharu ini dibentuk secepat mungkin bagi membolehkan pembentangan Belanjawan 2021 Perak yang tertangguh susulan usul undi percaya itu dilakukan pada kadar segera, katanya.
DUN Perak merangkumi 25 ADUN BN yang kesemuanya daripada UMNO, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.