Bersatu Perak Sokong Peringatan Tun Mahathir

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak menyokong peringatan Tun Dr Mahathir Mohamad pentingnya ahli-ahli parti sentiasa berpegang kepada asas penubuhan Bersatu iaitu berjuang demi bangsa, agama dan negara.

Pengerusinya, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Bersatu Perak juga  mengambil peringatan serius agar tiada dalam kalangan ahli parti cuba menyalahgunakan Bersatu sebagai wadah untuk mendapatkan kepentingan peribadi.

“Kita perlu insaf dan mengambil iktibar daripada penolakan rakyat terhadap parti UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang disebabkan oleh pemimpin parti itu telah menyimpang daripada asas penubuhannya untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.

“Ahli-ahli Bersatu juga perlu menginsafi amanat Dr Mahathir untuk belajar daripada sejarah parti-parti politik negara lain yang telah berkubur kerana ditolak oleh rakyat akibat daripada perbuatan meninggalkan asas perjuangan masing-masing demi mengejar habuan sendiri melalui jawatan-jawatan dalam kerajaan,’’ katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap ucapan perasmian Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu dalam Perhimpunan Agung Khas Bersatu di Serdang hari ini.

Menurut Ahmad Faizal yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, hanya dengan menunaikan amanah yang diberikan, rakyat dapat merasai nikmat perjuangan parti sekali gus memastikan Bersatu mendapat kepercayaan dan sokongan berterusan.

Katanya, Bersatu Perak turut menyokong pendirian Dr Mahathir bahawa perjuangan membela nasib kaum Bumiputera tidak sama sekali bermaksud mengambil hak kaum lain.

“Sebaliknya, ia bertujuan memastikan hak-hak orang Melayu dilindungi selari dengan prinsip perkongsian kemakmuran yang diperjuangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan,’’ katanya.