Tiga Orang Asli Kampung Papan Dilepas Selepas Diambil Keterangan

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Tiga orang asli yang ditahan pihak polis berhubung insiden kekecohan di kawasan pembalakan Kampung Papan, Gerik pada Khamis telah diambil keterangan mereka dan dilepaskan.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata ketiga-tiga lelaki itu dibawa ke Balai Polis Gerik pada 10 pagi semalam.

“Polis menerima laporan daripada pihak pembalakan yang mendakwa terdapat beberapa sekatan menggunakan kayu yang diletakkan di kawasan pembalakan dipercayai bagi menghalang aktiviti pembalakan dan laluan di kawasan itu pada Khamis lepas.

Beliau berkata difahamkan aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan itu mempunyai kelulusan daripada kerajaan negeri dan telah bermula sejak tahun lalu.

“Isu ini sudah lama berbangkit dalam kalangan Orang Asli berhampiran sejak aktiviti itu dimulakan,” katanya.

Katanya ketiga-tiga Orang Asli berkenaan tidak ditahan tetapi dibenarkan pulang setelah keterangan diambil bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin keruh dan masalah berhubung isu berkenaan akan dibincangkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bersama kumpulan itu.

Pihak syarikat pembalakan terbabit, Sedia Visijaya Sdn Bhd bersama lima orang pekerjanya telah merobohkan halangan manusia membabitkan 25 Orang Asli pagi tadi.

Syarikat itu membuat tiga laporan polis sejak Rabu lepas kerana tidak berpuas hati dengan tindakan penduduk Orang Asli dari Kampung Sungai Papan yang membuat halangan di laluan masuk kawasan berkenaan.

Seramai 45 Orang Asli membuat halangan manusia untuk menghalang kerja-kerja meroboh halangan oleh syarikat pembalakan terbabit pada Khamis lepas.